BOLA SEPAK

Kelayakan Piala Dunia: Juara Eropah kempunan ke pusingan akhir

Shaiful Shamsudin 25/03/2022 | 01:00 MYT
ITALI 0 MACEDONIA UTARA 1
Jorginho mengakui kegagalan sepakan penaltinya pada awal kempen kelayakan akan menghantuinya buat selama-lamanya selepas kegagalan Itali layak ke Piala Dunia 2022.
Azzurri dinobatkan sebagai juara Euro 2020 lapan bulan lalu selepas menewaskan England dalam perlawanan akhir menerusi penentuan penalti.
Bagaimanapun, skuad kendalian Roberto Mancini tidak akan ke Piala Dunia hujung tahun ini selepas tewas mengejut 0-1 kepada Macedonia Utara dalam separuh akhir play-off kelayakan, awal pagi tadi.
Walaupun tuan rumah mendominasi pertemuan di Palermo itu, gol tunggal Aleksandar Trajkovski pada masa kecederaan menghadiahkan pelawat kemenangan mengejut.
Selepas seri empat daripada lima perlawanan terakhir mereka, Itali mengharungi babak play-off selepas menamatkan saingan Kumpulan C dengan dua mata di belakang Switzerland.
Antaranya adalah seri 1-1 dengan Switzerland yang menyaksikan Jorginho terlepas dua sepakan penalti.
Pemain tengah Chelsea itu berasa perlu bertanggungjawabnya atas kegagalan negaranya itu untuk layak buat kali ketiga selepas edisi 1958 dan 2018.
“Sukar untuk menjelaskan apa yang berlaku,” katanya kepada RAI Sport.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Sangat memeritkan. Sejujurnya, saya masih tidak percaya.
"Saya tidak fikir kami kurang kreatif kerana kami sentiasa mendominasi perlawanan dan mencipta begitu banyak peluang. Malangnya, kami tidak dapat menyudahkannya.
"Kami beraksi dengan bagus, kami memenangi Kejohanan Eropah musim panas lalu tetapi malangnya dalam beberapa perlawanan terakhir, kami melakukan kesilapan kecil dan gagal bangkit. Mereka melakukan rombakan.
“Sangat menyakitkan apabila memikirkan tentang kegagalan sepakan penalti yang lalu kerana saya masih memikirkannya dan ia akan menghantui saya sepanjang hayat ini,
“Dua kali gagal dan tidak dapat membantu pasukan dan negara anda adalah sesuatu yang saya akan kendong selama-lamanya, ia membebankan saya.
"Orang berpesan supaya kita tidak perlu terlalu kecewa dan perlu teruskan perjuangan tetapi ia sukar."
#kelayakan Piala Dunia #Piala Dunia Qatar #Azzuri
;