BOLA SEPAK

Kelayakan Piala Dunia: Jorginho gagal sempurna sepakan penalti buat kali ketiga berturut-turut untuk Itali

Shaiful Shamsudin 13/11/2021 | 01:41 MYT
ITALI 1 SWITZERLAND 1
Ketua pasukan Itali, Leonardo Bonucci, menawarkan sokongan terhadap Jorginho untuk kekal mengambil sepakan penalti walaupun pemain tengah itu mungkin kehilangan peranan berkenaan selepas mereka diikat Switzerland 1-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2022, awal pagi tadi.
Jorginho merembat melepasi palang dari jarak 12 ela itu pada minit ke-90 selepas Ulisses Garcia didapati menjatuhkan pemain gantian, Domenico Berardi, di dalam kotak penalti.
Tonggak Chelsea itu kini terlepas tiga penalti berturut-turut untuk Itali -- termasuk satu ketika mengatasi England dalam penentuan penentuan akhir Euro 2020 dan dua kali sewaktu bertemu Switzerland dalam kelayakan Piala Dunia.
Sebelum awal pagi tadi, Jorginho berjaya memanfaatkan enam sepakan penalti berturut-turut untuk kelabnya, lantas Bonucci gembira untuk melihat rakan sepasukannya itu terus menggalas tugas berkenaan.
"Dia adalah pengambil sepakan penalti kami dan akan terus bertanggungjawab," kata Bonucci kepada Rai Sport.
"Empat bulan lalu, dia menjaringkan sepakan penalti penting ketika menentang Sepanyol yang membawa kami ke final Euro.
"Kami semua pasti akan melakukan kesilapan. Kini kami perlu beralih ke perlawanan seterusnya jika ingin ke Piala Dunia."
Kesilapan bintang naturalisasi kelahiran Brazil tersebut hadir selepas Giovanni Di Lorenzo membatalkan gol pembukaan pertahanan kanan, Silvan Widmer, dalam separuh masa pertama pertembungan di Stadio Olimpico itu.
Itali berpeluang untuk mendahului Kumpulan C dengan tiga mata di depan Switzerland sekiranya Jorginho berjaya melaksanakan amanah itu, sebaliknya mereka kekal terikat sama mata dengan lawan mereka terbabit.
Penjaring gol Azzurri, Di Lorenzo, turut menyertai Bonucci dalam mempertahankan Jorginho.
“Dia mungkin gagal melakukannya dalam tiga perlawanan terakhirnya tetapi dia seorang juara yang hebat dan dia adalah penyepak penalti kami,” katanya kepada Rai Sport.
"Kami semua akan menyokongnya untuk mengharungi detik ini."
Itali mempunyai kelebihan gol berbanding Switzerland, ini bermakna mereka hanya perlu terus mengekalkan mata dengan barisan kendalian Murat Yakin itu dalam perlawanan terakhir seandainya berhajat layak secara automatik ke temasya Qatar 2022 dan mengelak play-off.
Juara Eropah Itali bakal bertandang ke Ireland Utara, Selasa depan, sementara Switzerland akan melayani kunjungan Bulgaria.
#kelayakan Piala Dunia #Piala Dunia Qatar
;