Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: Belgium tidak terdesak guna khidmat Eden Hazard

hazard.jpg
Ketua jurulatih Belgium, Roberto Martinez, menegaskan kempen kelayakan Piala Dunia kekal sebagai keutamaannya sambil menjelaskan tidak akan terburu-buru dengan Eden Hazard sungguhpun penyerang Real Madrid itu kembali cergas.

The Red Devils di puncak Kumpulan E dengan kelebihan lima mata tatkala pusingan kelayakan berbaki dua perlawanan lagi selain berpeluang mengesahkan tempat mereka ke pusingan akhir di Qatar, tahun depan, menerusi kemenangan ke atas Estonia, awal pagi esok. 

Hazard belum memulakan perlawanan di peringkat kelab mahupun antarabangsa sejak kekalahan 2-3 kepada Perancis dalam separuh akhir Liga Negara-Negara (UNL) bulan lalu tetapi permulaan terakhirnya bersama Madrid ialah ketika mereka tunduk 1-2 kepada Sheriff, September 28 lalu. 

Pemain berusia 30 tahun itu kini sedia membarisi pasukan kebangsaan tetapi Martinez lebih bimbang dengan nasib pasukannya untuk mengesahkan tempat ke Piala Dunia.

“Ketika ini segala usaha kami adalah berdasarkan percubaan untuk layak,” kata Martinez menjelang perlawanan menentang Estonia itu. 

“Jika kami memerlukan dua perlawanan untuk layak maka itulah pendekatan kami.

"Jika kami mampu layak ketika beraksi di depan penyokong sendiri maka saya perlu membuat percaturan berbeza untuk menghadapi perlawanan terakhir (bertemu Wales), tetapi adalah penting untuk kami dapat bersaing bagi melayakkan diri ke Piala Dunia dan cuba mengekalkan kedudukan di ranking dunia.

"Kemudian kami perlu memantau fizikal pemain. Dalam kes ini, Eden tidak kerap beraksi jadi setiap hari kami akan memantaunya dan kami membuat banyak pertimbangan, sama seperti yang dilakukan terhadap setiap pemain lain.

"Matlamat utama adalah untuk layak ke Piala Dunia dan lihat kami boleh melakukannya."


 

Martinez menjelaskan bahawa dia gembira dengan usaha bekas pemain sayap Chelsea itu sejak melaporkan untuk tugasan pasukan kebangsaan, tetapi memberi amaran bahawa Hazard tidak mungkin cukup cergas untuk terbabit dalam perlawanan penuh.

"Jelas sekali, apabila anda mengalu-alukan Eden Hazard ke dalam kem ini, ia hanya untuk menilai sejauh mana khidmatnya boleh ditagih dan saya sangat gembira dalam hal itu," sambung Martinez.

“Dia kelihatan gembira dan teruja dengan perlawanan ini. Tetapi kami sedang mempertimbangkan sama ada dia mampu beraksi sepanjang 90 minit atau tidak.

"Saya akan terkejut jika mampu melakukannya di peringkat ini walaupun ia juga amat bergantung jenis perlawanan yang kami hadapi. Kami perlu berhati-hati untuk menangani situasinya dan memastikan kami membuat langkah ke hadapan yang baik.

"Saya melihat dia dalam keadaan mental yang sangat baik, dia kelihatan sangat tajam jadi bagi saya, ia adalah tentang persoalan sejauh mana dia boleh bermain."

Selepas berdepan Estonia, Belgium akan menutup Kumpulan E menentang Wales yang mengekori mereka dengan lima mata, Rabu depan.

Advertisement

Must Watch Video