Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Dunia: Amerika Selatan terima layanan berat sebelah daripada Eropah

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

tite.jpg
Ketua jurulatih Brazil, Tite, berpendapat kelab-kelab Eropah yang menyekat pemain Amerika Selatan daripada menyertai tugasan antarabangsa sebagai tidak adil menjelang Piala Dunia tahun depan.

Tite kehilangan ramai tonggak penting untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan menentang Argentina, awal pagi esok, selepas beberapa kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Sepanyol enggan melepaskan pemain yang perlu ke negara yang disenaraikan dalam zon merah.

Mereka yang dari negara-negara dalam senarai itu perlu menjalani kuarantin 10 hari sebaik tiba di United Kingdom (UK) tanpa mengira status vaksinasi masing-masing. 

 

LaLiga mengikuti jejak langkah EPL itu dengan menafikan 25 pemain daripada 13 kelab berbeza daripada terbabit dalam perlawanan di Amerika Selatan.

Antara kontinjen Brazil yang terlepas perlawanan itu ialah ketua pasukan; Thiago Silva, penjaga gol, Alisson, Fred, Renan Lodi, Gabriel Jesus, Richarlison dan Roberto Firmino.

"Saya rasa perlu hak sama rata buat semua pasukan dan saya menaruh kepercayaan terhadap persatuan kelab," kata Tite dalam sidang media sebelum perlawanan Sabtu.

"Ini menyusahkan persiapan Brazil dan semua pasukan bola sepak Amerika Selatan yang berdepan masalah hak sama rata untuk kempen kelayakan Piala Dunia, ia memberikan kelebihan kepada pasukan Eropah."

Dua kelab EPL, Aston Villa dan Tottenham, bagaimanapun membenarkan Emiliano Martinez, Emiliano Buendia, Giovani Lo Celso dan Cristiano Romero untuk menyertai Argentina sambil percaya bahawa mereka akan kembali sebaik tamat perlawanan dengan Brazil.

Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, pula menjelaskan bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai perjanjian dengan Villa atau Tottenham itu apabila berhasrat mengekalkan trio berkenaan untuk perlawanan ketiga menentang Bolivia.

Tite juga memberi isyarat bahawa pemain tengah Marseille, Gerson, berkemungkinan diturunkan di samping pemain tengah Flamengo, Everton Ribeiro.

Brazil kekal di kedudukan teratas kelayakan Piala Dunia CONMEBOL menerusi catatan sempurna tujuh kemenangan, sementara Argentina yang belum tewas di tempat kedua dengan 15 mata.
 

Advertisement

Must Watch Video