BOLA SEPAK MSIA
Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027: Pan-gon tabik semangat juang Harimau Malaya
Ketua jurulatih, Kim Pan-gon, melihat semangat juang Harimau Malaya menjadi tunjang kemenangan pasukan berbanding percaturan pertukaran pemain yang dilakukan ketika mengatasi Chinese Taipei 1-0 sebentar tadi.
Malaysia melakar kemenangan hasil jaringan tunggal Darren Lok dalam separuh masa kedua, pemain gantian yang dibawa masuk bersama Endrick dos Santos sekaligus memperoleh enam mata daripada dua perlawanan.
Asakan demi asakan, akhirnya Malaysia membuka jaringan! Darren Lok tampil cemerlang menyudahkan peluang. ??Langsung di Astro Arena Bola, saluran 803.#HarimauMalaya #FIFAWorldCup #AsianCup2027 pic.twitter.com/gXkiyibUsC— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 21, 2023
Harimau Malaya mempamerkan corak permainan yang cukup menarik, tidak bersifat pasif sepanjang perlawanan, menghasilkan peluang demi peluang ke arah kubu pertahanan tuan rumah.
Iklan
Bercakap dalam sidang media pasca perlawanan, Pan-gon menyifatkan semangat juang pasukan memastikan tiga mata penuh diperoleh di Stadium Perbandaran Taipei malam ini.
"Saya sangat gembira, berbangga dengan kualiti permainan yang telah ditampilkan pasukan. Mereka berhak mendapatkan kemenangan.
"Tahniah kepada pemain dan kepada seluruh rakyat Malaysia atas kemenangan ini.
"Kami telah menjangkakan perlawanan yang sukar, Chinese Taipei merupakan pasukan yang cukup berdisiplin dan sentiasa fokus sepanjang perlawanan namun semangat Malaysia memastikan berjaya mendapatkan kemenangan dalam perlawanan ini."
"Saya sentiasa berasakan keinginan pasukan itu menjadi tunjang kemenangan dalam perlawanan ini, bukanlah daripada percaturan pertukaran pemain yang dilakukan. Saya dapat melihat semangat pasukan cukup baik dan kami kurang bernasib baik untuk mendapatkan jaringan lebih awal.
"Saya berpandangan bukanlah kualiti individu namun kualiti sebagai satu pasukan adalah apa yang memastikan kemenangan dalam perlawanan ini."
Mengenai kualiti padang, pengendali kelahiran Korea Selatan itu memberikan pandangan, "Kami mungkin kurang pengalaman beraksi di atas padang sebegini, namun ia bukanlah satu alasan kerana kedua-dua pasukan perlu beraksi di atas permukaan padang yang sama. Ini merupakan satu pengalaman yang baik kerana mungkin terdapat perlawanan lain dengan permukaan padang sebegini.
"Permukaan padang yang agak keras dan pergerakan bola juga sukar diramal, namun saya melihat kualiti barisan pemain Chinese Taipei perlu turut diberikan pujian, mereka telah bermain baik dan menghadirkan kesukaran kepada pasukan kami sepanjang perlawanan.
"Sasaran kami adalah mahu memastikan 12 mata dalam saingan kelayakan ini. Namun saya berasakan perlawanan sukar ketika berkunjung ke Kyrgyzstan, sementara menerima kedatangan Chinese Taipei di Bukit Jalil.
"Bagaimanapun, saya mahu mengucapkan tahniah kepada Malaysia berjaya mengatasi Chinese Taipei di sini dan berharap untuk meneruskan rentak kemenangan ini akan datang."
Malaysia 1 Chinese Taipei 0Kemenangan cukup berharga buat Harimau MalayaJadi, siapa pemain terbaik perlawanan ini?Undi dan kongsi pandangan anda di ruangan komen ?— ASTRO ARENA (@ASTROARENA) November 21, 2023
Must-Watch Video