Skuad Harimau Malaya memastikan mereka berada di puncak Kumpulan D saingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 susulan kekalahan Oman kepada Kyrgyzstan 1-0 sebentar tadi.

Malaysia yang terlebih dahulu beraksi bertemu Chinese Taipei di Stadium Perbandaran Taipei turut melakar kemenangan 1-0 ke atas tuan rumah hasil jaringan Darren Lok.


Oman, yang dilihat sebagai pasukan pilihan dalam Kumpulan D, bertemu Kyrgyzstan, yang tewas secara dramatik kepada Malaysia 4-3 tempohari.

Selepas mengatasi Chinese Taipei 3-0 dalam aksi pertama, Oman dilihat bakal meneruskan rentak kemenangan apabila berdepan Kyrgyzstan.

Bagaimanapun, Odilzhon Abdurakhmanov meledak gol pada minit ke-49 sekaligus meletakkan skuad kendalian Štefan Tarkovič mendahului permainan sebelum menoktahkan kemenangan.

Kekalahan tersebut menyaksikan Oman jatuh ke tangga kedua sementara Malaysia mendahului saingan dengan mengumpul enam mata.