Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia: Safawi Rasid sahut cabaran sebagai penggempur

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

safawi-rasid.jpg
Daripada pemain nombor 11 kepada nombor 10 dan kini nombor 9.

Peranan baru sebagai penyerang sejati bersama skuad Harimau Malaya bakal menguji kemampuan Safawi Rasid untuk berada dalam skuad terbaik negara.

Namun, Safawi menyahut cabaran itu dengan keazaman tinggi menjelang misi getir kelayakan Piala Asia bertemu Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa depan. 

Kelibat Safawi mencuri tumpuan dalam aksi persahabatan antarabangsa bertemu Cape Verde di Cheras pada Rabu lalu yang menyaksikan tonggak kelahiran Terengganu berusia 28 tahun itu diberi peluang mengetuai jentera serangan.

Safawi mengakui ia bukan satu tugas mudah walaupun pernah menggalas peranan itu ketika bersama kelabnya Terengganu musim lalu.

"Perlawanan antarabangsa mungkin tahapnya lebih tinggi jadi saya perlu menyesuaikan diri. 

"Saya perlu pernbaiki pergerakan dan ketepatan masa untuk menyudahkan peluang. Saya sedia mendapatkan tunjuk ajar daripada Paulo Josue. 




"Kalau diberikan peranan di bahagian menyerang, Insya-Allah saya boleh berikan yang terbaik untuk pasukan," katanya. 

Sifat utama penyerang nombor sembilan ialah kemampuan melakukan penyudah yang tajam seperti legenda Brazil, Ronaldo.

Dan kini, Safawi bukan sahaja perlu bersaing dengan Paulo Josue dan Romel Morales, malah turut perlu merebut tempat dengan Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo sebagai penggempur baru barisan 'Malaysian Abroad'.

"Semua penyerang nombor sembilan perlu bekerja keras untuk merebut tempat masing-masing.

"Jadi tempat itu belum selesa lagi. Saya perlu ikut segala arahan jurulatih, berikan 100 peratus baik dalam perlawanan persahabatan dan kompetitif. 

"Ia juga bagus untuk diri sendiri dan jika tidak tersenarai dalam barisan utama, saya akan terus bekerja keras," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video