Kelayakan Piala Asia: Percaya kepada proses, tekanan lumrah dalam bola sepak -- Baddrol Bakhtiar
Shaiful Shamsudin
Disember 10, 2024 20:24 MYT
Disember 10, 2024 20:24 MYT
Bekas pemain tengah negara, Baddrol Bakhtiar, tidak mahu dengar sebarang alasan -- merujuk kepada situasi skuad negara ketika ini walaupun permulaan kurang sempuna dengan sekadar seri berhadapan Kemboja bukanlah pengakhiran kempen Piala AMEC 2024.
Satu ketika dulu, Malaysia pernah memulakan kempen dengan kekalahan memalukan 1-5 kepada Indonesia sebelum Malaysia bangkit dan muncul juara pada 2010.
Tegasnya, jika mahu menghamparkan segala alasan, setiap edisi skuad negara tidak pernah lekang dengan situasi sukar dalam persediaan pasukan.
"Ini adalah proses untuk pemain baru mencari pengalaman dan pendedahan untuk ke peringkat lebih tinggi yang seterusnya.
"Keputusan seri dengan Kemboja boleh menjadi cabaran untuk mereka bangkit dan menjadi lebih baik daripada sebelumnya," katanya di Nadi Arena.
Selepas kempen Piala AMEC, Harimau Malaya memmiliki tempoh tiga bulan untuk mempersiapkan pasukan untuk perlawanan pertama kelayakan Piala Asia.
Sebaik diundi bersama Nepal, Vietnam dan Laos, Baddrol melihat Harimau Malaya memiliki peluang terbaik mengisi slot tunggal layak secara automatik ke Piala Asia Arab Saudi 2027.
Apatah lagi skuad negara bakal melalui rombakan besar sebaik tugasan Piala AMEC berakhir.
"Pasukan paling getir adalah Vietnam. Tetapi pasukan negara mempunyai tempoh persiapan untuk mencari keserasian.
"Dua pasukan lagi tidak boleh diambil mudah dan masih perlu dianggap ini satu laluan sukar.
"Apa yang terjadi sekali pun, jangan tertekan dan kena menang -- satu persatu perlawanan," katanya lagi.