Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia: Kalau mahu menang mereka perlu jaringkan gol -- Pakar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

malaysia-nt.jpg
Pemerhati bola sepak negara, Asmawi Bakiri, berpandangan empat pemain barisan serangan Harimau Malaya perlu menjaringkan gol jika mahu memenangi aksi kedua Kumpulan F, pusingan akhir kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok.

Ini kerana tiga pemain warisan baru di bahagian serangan, iaitu Rodrigo Holgado, Joao Figueiredo dan Imanol Machuca, selain Arif Aiman Hanapi, memiliki rekod cemerlang di depan gawang dan berdasarkan data dan statistik, mereka perlu menjaringkan gol dalam perlawanan itu.

Menurutnya, pemain yang pernah mengisi bahagian itu sebelum ini seperti, Paulo Josue, Faisal Halim, Romel Morales dan Safawi Rasid telah membuktikan keupayaan di depan gawang dan kehadiran pemain baru ini seharusnya memiliki lebih ketajaman dalam menghasilkan penyudah.

"Kalau kita lihat empat pemain ini, mereka memiliki kemahiran individu dan statistik yang baik di depan gol," katanya ketika dihubungi Stadium Astro.

"Satu Malaysia mahu melihat mereka menjaringkan gol, jadi mahu tidak mahu mereka perlu menjaringkan gol.

"Mungkin akan kurang kerjasama sepasukan kerana mereka baru tiba tetapi apa yang penting adalah mereka dapat menjaringkan gol.

"Kalau kita mahu menang, itulah yang perlu dilakukan. Ia semua tentang menjaringkan gol.

"Tidak kira formasi apa sekali pun yang akan digunakan malam esok, perlu menjaringkan gol.

"Senang cerita, jika mereka tidak dapat menjaringkan gol, kita mungkin akan kalah," katanya.

Asmawi menambah, dengan format pusingan akhir kelayakan Piala Asia ini, setiap jaringan penting untuk menentukan kemaraan, memandangkan hanya juara kumpulan akan layak ke Arab Saudi pada 2027.

"Apa yang kita mahu lihat esok ialah pasukan kita menjaringkan gol dan menang.

"Kita juga memiliki pemain yang boleh menjana jaringan dari posisi lain seperti Stuart Wilkin, Endrick, Hector Hevel, Facundo Garces dan Jon Irazabal. 

"Jaringan lebih besar lebih bagus kerana dalam pertandingan ini, hanya pasukan teratas akan layak, jadi setiap mata dan jaringan amat penting.

"Kita hanya dapat menjaringkan dua gol ketika menentang Nepal sebelum ini, jadi kita perlukan jaringan lebih besar selepas ini," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video