BOLA SEPAK
Kelayakan Piala Asia B-23: Anak buah Elavarasan buru pembukaan positif
Pertahanan Selangor, Harith Haiqal, menganggap Bangladesh yang merupakan halangan pertama buat kem negara bakal memberi saingan hebat dalam Kumpulan H yang juga melibatkan Filipina serta tuan rumah ketika menyertai skuad B-23 yang berlepas ke Chonburi, Thailand, hari ini bagi kelayakan Piala Asia 2024.
"Pemain perlu bijak kawal tekanan sebab kemenangan pertama akan lonjak semangat dan keyakinan kami untuk baki perlawanan," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam masa yang sama, penjaga gawang yang menyinar musim ini, Sikh Izhan Nazrel Sheikh Azman, enggan mengulangi kekecewaan yang dialami dalam dua kejohanan sebelum ini iaitu Sukan SEA Kemboja serta Piala AFF B-23.
Iklan
Buat penjaga gol Negeri Sembilan FC itu, kejohanan kelayakan ini merupakan medan untuk menebus kembali episod duka selain akan menjadi lebih bermakna kerana bakal berhitung dengan Thailand yang memusnahkan dua impian skuad negara tahun ini.
"Ini umpama peperiksaan akhir tahun untuk kami sebab kami sudah jumpa Thailand dalam Sukan SEA dan Piala AFF.
"Kami sudah timba pengajaran dalam dua kekalahan lalu jadi setidak-tidaknya kami perlu raih keputusan seri untuk pertemuan kali ini.
"Saya tidak risau ketiga-tiga penjaga gol Malaysia yang berpengalaman dalam Liga Super selain di tahap terbaik," katanya pula.
Must-Watch Video