Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Piala Asia B-23: 'Saya sendiri jarang bermain di kelab, kualiti pemain terhad'

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

ubai.jpg
Sejurus kegagalan skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) melayakkan diri ke Piala Asia B-23, bukan hanya peminat tempatan, malah barisan pemain jurulatih turut hampa.

Ketua jurulatih Harimau Muda, Nafuzi Zain, merasakan kempen kali ini melahirkan kekecewaan yang sangat tinggi. 

Ini apabila bekas pengendali Kedah itu menyifatkan pasukannya mempunyai segala kualiti untuk melayakkan diri ke edisi Arab Saudi 2026 itu.

Penyudah tumpul ketika bertemu lawan lebih kuat menjadi kelemahan dan Nafuzi menekankan, ia adalah aspek utama yang akan dibaiki menjelang Sukan SEA Thailand akhir tahun ini. 

"Itu sepatutnya peluang untuk menguasai permainan dengan menjaringkan gol.

"Tetapi, kami faham dengan keadaan pemain berkemungkinan menghadapi situasi seperti tekanan dan memerlukan sedikit ketenangan sehingga memaksa kita terlepas tiket ke Piala Asia.

 

"Ini adalah pengalaman buat pemain sentiasa belajar di peringkat antarabangsa," katanya di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Sementara itu, kapten pasukan, Ubaidullah Shamsul Fazili, menyifatkan peluang terakhir untuk mereka membuktikan kredibiliti adalah dalam kejohanan dwitahunan itu.

Bagi pertahanan Terengganu itu, tidak mustahil untuk mereka membuktikan sesuatu di Bangkok, Thailand lebih-lebih lagi ketika ini mereka sudah tahu kelebihan yang ada pada pasukan pilihan seperti Indonesia dan juga tuan rumah. 

"Realitinya, kualiti kami dengan pasukan lain sangat berbeza.

"Seperti kita tahu, pemain Thailand agak dikenali kerana berbakat dan kita tahu di mana mereka bermain di pasukan utama.

"Saya sendiri pun jarang bermain di kelab saya.

"Saya rasa kami sebagai satu pasukan kena buktikan sesuatu. 

"Kelompok pemain dalam skuad pelapis kecil dan terhad.

"Kami memerlukan persiapan lebih rapi untuk ke Sukan SEA," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam. 

Untuk rekod, kali terakhir skuad bola sepak lelaki negara meraih pingat adalah pada temasya Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur apabila memenangi pingat perak.

Manakala kali terakhir Malaysia menggenggam pingat emas adalah pada 2011 di Indonesia.
 

Advertisement

Must Watch Video