Skuad B-19 negara perlu mempertajamkan lagi jentera serangan untuk pergi lebih jauh dalam pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Tajikistan.
Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli, juga melihat perlawanan menentang tuan rumah pada Jumaat ini sebagai misi wajib menang untuk memastikan skuad bimbingan Juan Torres Garrido itu berada dalam kedudukan selesa Kumpulan E.
Beliau berkata, tempoh rehat beberapa hari ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan barisan depan lebih tajam untuk menggegar gawang lawan.
"Barisan serangan skuad muda ini masih tumpul dan wajar diperkemaskan lagi. Lihat apa kelemahan dan perlu diperbaiki.
"Pemain tengah menyerang, Haykal Danish, bermain dengan baik, namun jentera depan perlu lebih tajam," katanya.
Malaysia kini menghuni tangga kedua kumpulan di belakang Korea Utara berkongsi empat mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Dushanbe pada Isnin lalu.
Pekan juga melihat satu kerugian buat pasukan negara yang gagal memanfaatkan peluang kelebihan seorang pemain selepas pasukan lawan beraksi 10 pemain akibat layangan kad merah.
"Selama 30 minit kita mempunyai kelebihan seorang pemain, namun kesempatan itu gagal digunakan dengan baik untuk meledak gol. Kita beraksi di peringkat antarabangsa dan sikap pemain perlu ubah, terapkan mentaliti kemenangan," katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia mungkin boleh tercicir untuk ke pusingan akhir sekiranya pemain mengambil mudah perlawanan akan datang, termasuk menentang Sri Lanka dalam aksi terakhir kumpulan.
"Kemenangan 2-1 ke atas Oman dan seri dengan Korea Utara bukan kelebihan, malah kita mungkin boleh dipintas oleh Korea Utara dan Tajikistan juga Oman untuk berada di tangga kedua kumpulan bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya," katanya.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Wed Sep 25 2024