Kelayakan Piala Asia B-20: FAM umum senarai 23 pemain ke kem latihan pusat

Muzaffar Musa
Ogos 27, 2024 16:42 MYT
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai 23 pemain B-19 negara yang akan ke kem latihan pusat menjelang pusingan kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe, Tajikistan bermula 21 September depan.
Berikut merupakan senarai 23 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Juan Torres Garrido, bagi kem latihan pusat bermula Jumaat ini.
Sementara itu, 16 pemain diletakkan dalam senarai bersedia seandainya terdapat perubahan dalam senarai di atas
Harimau Muda B-19 akan terbang ke Changsha, China pada Sabtu ini bagi menyertai kejohanan jemputan empat penjuru di sana menentang Uzbekistan B-21 pada 4 September, China B-21 pada 7 September dan Vietnam B-21 pada 10 September depan.
Bagaimanapun, sepanjang berada di China, Harimau Muda B-19 akan dikendalikan oleh dua penolong ketua jurulatih skuad B-19 kebangsaan, iaitu Noor Zaidi Rohmat dan Shukor Adan, memandangkan Juan Torres, yang turut memegang jawatan sebagai penolong ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, akan bersama skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti bagi saingan Pestabola Merdeka dari 4 hingga 8 September ini.
Sekembalinya dari China, skuad B-19 negara akan menyambung kem latihan pusat di tanah air bersama Juan Torres dari 12 hingga 16 September ini, sebelum mereka terbang ke Dushanbe pada 17 September 2024 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Saingan Kumpulan E pusingan kelayakan berkenaan menyaksikan Malaysia akan menentang Oman pada 21 September, DPR Korea pada 23 September, Tajikistan pada 27 September dan Sri Lanka pada 29 September depan, di mana kesemua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe.
10 pasukan selaku juara kumpulan bersama lima pasukan tempat kedua terbaik kumpulan akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, China, bagi saingan utama Piala Asia B-20 2025 dari 6 hingga 23 Februari 2025.
#Persatuan Bolasepak Malaysia #Harimau Muda #Kelayakan Piala Asia B-20
;