BOLA SEPAK
Kelayakan Euro 2024: Rob Page pertahan prestasi buruk Wales
Rob Page mempertahankan rekod suram Wales sejak 12 bulan lalu sambil menegaskan barisannya sedang dalam peralihan.
Page menandatangani kontrak empat tahun pada September lalu tetapi berdepan tekanan yang makin meningkat selepas sekadar mencatat satu kemenangan dalam 11 perlawanan sejak layak ke Piala Dunia 2022.
Kekecewaan penyokong Wales memuncak selepas kekalahan mengejut 2-4 kepada Armenia lawan yang berada di kedudukan ke-97 dunia, semalam, yang menyaksikan harapan untuk layak ke pusingan akhir Euro 2024 di Jerman kian memudar.
“Kami mengadakan mesyuarat kumpulan, sehari selepas perlawanan dan membincangkan perkara yang perlu diperkatakan,” katanya menjelang aksi kelayakan menentang Turki di Samsun, awal pagi esok.
“Kami telah melupakannya dan tumpuan kami terarah kepada cabaran di sini sepenuhnya dan kami semua akan bersedia menghadapinya.
“Apa yang saya mahukan ialah reaksi daripada pemain iaitu menerusi prestasi. Jika mereka berbuat demikian, hasilnya akan datang dengan sendirinya.
"Kami merupakan sebuah pasukan yang sedang meningkat, pasukan dalam peralihan, jadi kami perlu mengingatkan tentang kedudukan diri sendiri."