Skip to main content

Bola Sepak

Kelayakan Euro 2024: Mancini yakin Itali susun rentak lebih bertenaga

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mancini.jpg
Roberto Mancini sedar Itali berdepan tugas yang menggunung untuk layak ke Euro 2024 selepas mereka ditumbangkan 1-2 oleh England. 

Begitupun, ketua jurulatih itu tetap positif berdasarkan persembahan babak kedua anak buahnya, awal pagi tadi. 

Declan Rice membuka tirai jaringan dan Harry Kane menjadi penjaring terbanyak England dengan gol ke-54 untuk negaranya menerusi sepakan penalti sebelum menutup separuh masa pertama dalam pertembungan Kumpulan C di Stadio Diego Armando Maradona itu.

Pemain kelahiran Argentina, Mateo Retegui, menandakan penampilan sulungnya dengan menemui sentuhan penyudah untuk juara Eropah itu kembali memberi saingan, apatah lagi Luke Shaw dibuang padang pada minit ke-80.

England bertahan untuk membalas dendam atas kekalahan dalam final Euro 2020, sekali gus memastikan kemenangan pertama mereka di tempat lawan sejak Mei 1961.

Skuad kendalian Gareth Southgate tersebut menamatkan rekod kebal 40 perlawanan Itali dan Mancini tidak rela mereka berputih mata untuk menyertai kejohanan utama di Jerman tahun depan itu selepas tercicir dalam Piala Dunia 2022 di Qatar.

 

Mancini berkata: "Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sukar kemudian kami melepaskan dua gol daripada dua bola pegun; kami sepatutnya lebih berhati-hati.

"Kami mendominasi babak kedua dan mungkin patut catat seri. Kami kecewa dengan keputusan ini tetapi perjalanan kami masih jauh."

Dia menambah: "Dalam separuh masa kedua, kami mengasak dengan lebih baik, lebih tinggi dan sekali lagi saya melihat sebuah pasukan yang hebat: ia menawarkan kami harapan. England sentiasa berbahaya dalam soal bola mati tetapi kami tidak sepatutnya melepaskan dua gol itu.

"Kami masih berjaya meningkatkan usaha dan bermain dengan lebih baik. Laluan ini agak curam sekarang tetapi mungkin ia boleh diselesaikan dengan lebih lancar."

Advertisement

Must Watch Video