BOLA SEPAK
Kelayakan Euro 2024: Bukayo Saka buat peminat England kagum
Gareth Southgate memuji Bukayo Saka selepas bintang England itu menjaringkan hatrik ke atas Macedonia Utara dan menikmati salah satu malam terbaik dalam hidupnya.
Menyusuli kejayaan membenam Itali dan Ukraine Mac lalu disusuli menewaskan Malta 4-0 hujung minggu lalu, skuad The Three Lions membuktikan keupayaannya dalam kelayakan Euro 2024, awal pagi tadi.
Jaringan berganda Harry Kane di samping ledakan Marcus Rashford dan Kalvin Phillips dalam pertembungan di Old Trafford tersebut menyaksikan kelibat Saka paling mencuri tumpuan dalam kemenangan bergaya 7-0 itu, sekali gus melengkapkan hatrik pertama dalam kariernya.
Saka diberi tepukan gemuruh ketika menuju bilik persalinan selepas dikeluarkan kerana masalah tumit.
"Dia sudah menanggung masalah ini selama beberapa minggu dan ia adalah kecederaan yang hanya perlu diuruskan, tetapi ia pastinya lebih mudah kalau ia tidak muncul," kata jurulatih England itu.
"Saya fikir apabila anda mungkin mempunyai salah satu malam terbaik dalam hidup anda, ia adalah peringatan kepada semua orang bahawa ia berbaloi untuk menikmatinya.
“Untuk melihat kegembiraan di wajahnya, dia adalah anggota skuad yang popular dan sangat merendah diri, bekerja dengan sangat gigih dan sudah tentu berbakat.
"Dia telah mempamerkan penyudah yang tajam sepanjang minggu ini jadi ia adalah satu persembahan yang luar biasa."