PIALA FA

Kelantan United tumbangkan Tambadau

Farizal Yusoff 03/04/2019 | 15:13 MYT
KELANTAN UNITED 1 SABAH 0
Jaringan penyerang muda, Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi, sudah cukup membantu tuan rumah, Kelantan United FC, mengejutkan Sabah dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, sebentar tadi.
Turun dengan semangat mahu mencipta sejarah, Kelantan United mengasak awal kubu skuad Tambadau kendalian Jelius Ating itu dan hasilnya, Fakhrul Zaman menggembirakan penyokong tuan rumah apabila sepakan percumanya menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim, pada minit keenam.
Kelantan United menyerang lagi dan melalui gerakan satu-dua Mohammad Rozaimi Azwar Mat Noor kepada Fakhrul Zaman hampir menggandakan jaringan, namun sepakan leretnya terus ke dakapan Rozaimie pada minit ke-22.
Skuad Tambadau melalui dua penyerang import, Rodoljub Paunovic dan Luiz Carlos Junior, cuba memecah benteng pertahanan Kelantan United yang diketuai kapten, Mohd Shahrizan Ismail, namun gagal sehingga pengadil menamatkan aksi babak pertama.
Bersambung dalam babak kedua, Sabah hampir mendapatkan gol penyamaan apabila sepakan percuma Luka Milunovic ditangkap kemas penjaga gawang, Mohd Shahrizan, pada minit ke-56.
Milunovic sekali lagi kecewa apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti terkena palang biarpun Mohd Shahrizan sudah tertewas pada minit ke-66.
Ketua jurulatih Kelantan United, Zahasmi Ismail, mengeluarkan penjaring gol, Fakhrul Zaman, dan memasukkan penyerang muda, Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi pada minit ke-72.
Dalam masa tambahan, penyerang import Sabah, Junior, melepaskan sepakan kencang namun berjaya ditangkap kemas Mohd Shahrizan untuk membantu Kelantan United mencipta sejarah mara ke pusingan ketiga Piala FA.
Keputusan lain:
BATU DUA FC 1 PKNP 2
KUALA LUMPUR 3 TUN RAZAK CITY 0
PAHANG 4 PIB 0
PENJARA 0 PULAU PINANG 1
PERAK 2 NEGERI SEMBILAN 1
PKNS 3 MELAKA 2
UiTM 0 PJ CITY 2
;