Kelantan United ikrar lunas tunggakan gaji


Januari 2, 2024 09:09 MYT
Kelantan United FC akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan itu yang tertunggak musim lalu.
Pasukan itu dalam satu kenyataan berkata, mereka tidak akan lari daripada masalah dan akan menjaga kebajikan pemain dan pegawai pasukan.
"Tipu jika mana-mana kelab bola sepak di Malaysia mengatakan mereka tidak mengalami atau menghadapi masalah pada setiap musim dan Kelantan United FC juga mengakui kami turut berdepan masalah.
"Namun, syukur kepada Allah kerana pihak pengurusan tidak lari, malah sentiasa menjaga kebajikan dengan mengambil tanggungjawab untuk melangsaikan segala tuntutan seterusnya melunaskan segala keperluan berlandaskan kontrak yang telah ditandatangani pada awal musim," kata kenyataan itu di laman Facebook Kelantan United FC semalam.
Bekas penjaga gol Selangor itu juga menyatakan hasrat untuk menjual pingat yang dimenanginya ketika beraksi bersama MPPJ FC pada tahun 2001 hingga 2004 untuk menampung kehidupan.
Dalam pada itu, pasukan dari Pantai Timur itu terus komited untuk meneruskan cabaran dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan dan melakukan beberapa perubahan kepada skuad itu.
"Justeru, pada 2024 yang baru sahaja menjengah, Kelantan United FC akan terus bersaing dalam saingan Liga M dan dijangka melakukan beberapa perubahan bagi memacu kejayaan dan kegemilangan yang jauh lebih cemerlang.
"Bersandarkan semangat berpasukan dan kerjasama yang jitu dalam kalangan warga Sang Kijang Hijau, dokongan demi dokongan dari para penyokong yang mahu melihat perubahan, besarlah harapan Kelantan United FC agar semua perancangan baru nanti dapat diselesaikan dan direalisasikan dengan baik serta gemilang," katanya.
Kredit: Sinar Harian
#liga super #Kelantan United #DemiLigaKita
;