Kelantan FC hilang lima tonggak utama musim 2021

Muzaffar Musa
Disember 8, 2020 21:41 MYT
Kelantan FC berdepan ranjau berliku bagi mengharungi Liga Perdana 2021 apabila lima pemain utamanya memilih untuk angkat kaki daripada pasukan itu.
Skuad The Red Warriors itu dilaporkan memberikan kebebasan untuk pemain menamatkan kontrak mereka tanpa sebarang pampasan dengan hanya mengisi borang persetujuan pembatalan kontrak.
Antara yang memilih untuk mengisi borang itu adalah Nik Akif Syahiran Nik Mat, Nazrin Nawi, Shahrul Nizam Roshasni dan Danial Ashraf Abdullah.
Ketiadaan bekas ketua jurulatih, Yusri Che Lah, juga merupakan faktor utama senarai pemain itu memilih untuk tidak lagi bersama pasukan Pantai Timur itu musim depan.
"Saya sudah membatalkan kontrak (bersama Kelantan). Untuk tahun depan, Insya-Allah saya akan bersama pasukan lain," kata Nik Akif Syahiran kepada Nadi Arena.
Nazrin Nawi pula berkata: "Saya tidak bersetuju dengan kontrak yang baru kerana mereka tidak mahu ikut kontrak lama.
"Ia kerana Kelantan FA sudah ditukar kepada Kelantan FC. Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku, jadi saya meminta surat pelepasan."
#Liga Perdana Malaysia #Nazrin Nawi #Nik Akif Syahiran Nik Mat #Yusri Che Lah #Kelantan FC
;