Kelantan FC bakal berwajah baru sebaik tirai saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2024 disingkap pada awal tahun depan.

Selepas sering menjadi mangsa belasahan musim ini, The Red Warriors itu akan tampil dengan nafas baru dengan beberapa penambahbaikan yang dilakukan.

Justeru, pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berharap masalah sekatan perpindahan pemain dapat diselesaikan bagi membolehkan beliau membina semula pasukan.

“Tentang baki saingan musim tahun ini, saya sudah cuba yang terbaik termasuk untuk mengambil pemain import baharu, tetapi tak dapat daftar... kita reda.

“Jadi untuk melengkapkan pasukan, kita ambil pemain skuad Bawah 23 tahun untuk menamatkan baki saingan Liga Super musim ini.

“Saya sudah empat tahun di Kelantan, musim depan kita buka buku baharu. Musim depan tahun kelima di Kota Bharu dan Insya-ALLAH semuanya akan berjalan dengan baik,” katanya semalam.




Dalam pada itu, Norizam menyambut baik langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mewajibkan setiap kelab menghantar skuad Piala Presiden dan Piala Belia mulai musim depan.

Malah beliau percaya FAM dan badan pengelola Liga-M, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah meneliti dengan wajar langkah tersebut sebelum ia dilaksanakan.

“Bagi saya tiada masalah. Bagus untuk pembangunan akar umbi. Saya setuju dan akan menyediakan pasukan untuk bersaing,” jelasnya.

Pada Isnin, Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kegagalan menyediakan pasukan untuk kedua-dua saingan tersebut akan menyebabkan kelab tidak diberikan lesen kebangsaan.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham menjelaskan, pihaknya akan berkolaborasi dengan kelab-kelab bola sepak di Kelantan untuk mengenal pasti pemain berbakat untuk diserapkan dalam dua skuad tersebut.

“Banyak pasukan bola sepak belia dan remaja di Kelantan. Kita boleh bekerjasama dengan mereka. Bentuk pasukan terbaik, tiada masalah itu boleh diatur,” ujarnya.

Pertandingan Piala Presiden 2024 dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos, manakala Piala Belia 2024 dijadual berlangsung pada April hingga September tahun depan.

Kredit Sinar Harian