LIGA SUPER MSIA
Kelab Malaysia beraksi dalam liga luar negara? Tidak semudah itu -- AFC
Pelepasan untuk sebuah kelab tempatan beraksi dalam luar negara perlu melalui proses rumit melibatkan tapisan tiga peringkat dan memerlukan alasan konkrit, kata Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John.
Ini selepas Liga Perdana Singapura, (SPL) membuka tawaran kepada mana-mana kelab yang berminat untuk beraksi di negara itu.
Tambahnya, selain perlu meminta kebenaran daripada badan induk, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kelab yang berhsarat juga perlu melakukan rujukan kerapa AFC sebelum memohon lampu hijau daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Apapun, ia sesuatu yang dilihat janggal jika ada permohonan daripada sesebuah pasukan untuk bersaing di luar negara pada ketika liga domestik masih aktif dan kompetitif saban musim.
"Jika di negara sendiri memiliki liga profesional, bagaimana kami boleh memberikan kebenaran untuk mereka bermain dalam liga di sebuah negara lain?" katanya kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.
"Ia akan menjadi liga serantau. Kalau ada sesebuah kelab yang mahu bermain dalam liga di negara lain, mereka perlu memohon kebenaran.
"Jika anda bermain dalam perlawanan persahabatan pun kena mintak kelulusan daripada AFC, apatah lagi liga.
"Mereka perlu melakukan permohonan dan memberikan rasional mengapa mereka perlu bermain dalam liga asing," katanya.