Kelab Liga Super giat sambung latihan Hari Raya ketiga

Najmi Iman
April 14, 2024 12:24 MYT
Seawal Hari Raya Aidilfitri ketiga, rata-rata pasukan utama Liga Super sudah pun memulakan latihan bagi menjalani persiapan menjelang kancah Liga Super 2024/2025 yang akan bermula bulan depan.
Negeri Sembilan FC, Terengganu FC dan Selangor FC di laman rasmi media sosial masing-masing memberitahu bahawa kesemua pemain sudah melaporkan diri dan bersedia untuk memberi saingan yang sengit.
Juara 10 kali Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), pula akan mengharungi cabaran pra-musim di Sepanyol bagi mengekalkan misi kejuaraan Liga Super buat kali ke-11. Mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan dengan tujuh pasukan dari Sepanyol.
Tidak terlepas, pasukan ibu kota, KL City juga akan mengadakan perlawanan persahabatan bersama kelab Liga M3 iaitu Gombak FC di Stadium PKNS, Kelana Jaya.
Terkini, menerusi laman Facebook pasukan Kedah FC mengumumkan akan menyertai Kejohanan Empat Penjuru pra-musim 2024/25, Agarbomb Performance Cup, untuk meningkatkan kekuatan pasukan.
#bola sepak #Liga Super Malaysia
;