Kejohanan AFF B23: Laos tambah perit Malaysia

Ammar Hakim
Februari 21, 2022 22:30 MYT
Skuad B23 negara terpaksa berdepan satu lagi kekecewaan apabila kecundang 2-0 di tangan Laos dalam saingan Kejohanan AFF B23, sebentar tadi.
Ketempangan Malaysia akibat pandemik COVID-19 memang jelas kelihatan dalam pertemuan kedua ketika bertemu Laos.
Menyedari mereka perlu mencatat sekurang-kurangnya kemenangan 2-0, Malaysia kelihatan tidak sabar mahu menjaringkan gol pembukaan.
Namun hantaran bola skuad negara tidak begitu lancar dan seringkali kehilangan bola tidak membantu mencapai sasaran mereka bagi perlawanan ini.
Sebaliknya, Laos yang melaung keyakinan berdasarkan cara permainan mereka.
Di minit ke-30 Lao hampir membuka jaringan bila larian solo Bounphachan Bounkong menuju gawang negara namun nasib baik sepakannya tersasar.
Usaha Laos akhirnya membuahkan hasil menerusi sepakan percuma cantik dari Bounkong yang meletakkan skuad Michael Weiss mendahului 1-0.
Dengan baki lima minit perlawanan, Souksakhone Bouaphaivanh pula mengambil kesempatan ke atas kelalaian skuad muda untuk menggandakan kelebihan Laos.
Meskipun skuad muda negara diberi tiga minit masa kecederaan untuk mengurangkan jurang mata, namun apakan daya untuk keputusan muktamad 2-0 memihak kepada pasukan lawan sekaligus terlepas peluang untuk melangkah ke separuh akhir.
;