Ange Postecoglou menerapkan semula kegirangan yang telah lama hilang dalam hati penyokong Tottenham Hotspur.

Pengenalan corak permainan yang mementingkan serangan menjadi pegangannya sejak mengambil alih sebagai pengurus bermula awal musim ini.

Postecoglou pernah berkata bahawa kemenangan terbaik adalah dikecapi menerusi gaya permainan yang cantik dan menghiburkan – sesuatu yang tidak dapat diperoleh menerusi corak pertahanan ketat semata-mata.

Malang sekali, kedegilan dan keengganannya untuk mengubah mentaliti ini tatkala pasukan dilanda krisis kecederaan, mula menghadirkan kerisauan.

Kekalahan 2-1 di tangan Aston Villa semalam adalah kali ketiga berturut-turut Tottenham kecundang sedangkan mereka menikmati tempoh tanpa kalah yang panjang sebelum ini.




Bekas pemain England, Jermaine Jenas, dalam artikel yang diterbitkan BBC, bertanyakan mengapa pengurus itu tetap berkeras menggunakan taktik yang sama?

Soalan itu lebih relevan ketika barisan pemain yang cergas beraksi ketika ini tidak mampu untuk melaksanakan tugasan dengan sempurna.

Di bahagian serangan, Richarlison, Ivan Perisic dan paling penting sekali, pemain yang menjadi nadi kreatif Spurs musim ini, James Maddison, dilanda kecederaan yang memerlukan masa panjang untuk pulih.

Lebih penting lagi, pertahanan tengah utama, Micky Van De Ven, turut mengalami kecederaan hamstring manakala seorang lagi pertahanan tengah, Cristian Romero, digantung perlawanan akibat menerima kad merah dalam perlawanan sebelum ini.

Ini memaksa Spurs untuk menurunkan Ben Davies dan Emerson Royal di posisi tersebut. Kedua-duanya kelihatan bergelut untuk mengawal barisan pertahanan, dan dua gol Villa hasil jaringan Pau Torres dan Ollie Watkins hadir akibat kawalan yang longgar.

Dengan pasukan yang bakal ditentang seterusnya adalah Manchester City, barisan pertahanan ini semestinya bakal diuji dengan lebih getir lagi apabila berhadapan dengan kelibat seperti Jeremy Doku dan Erling Haaland.

Adakah ia sesuatu yang logik untuk mengekalkan prinsip serangan dan merisikokan kebocoran gol pada detik sebegini? 

Adakah ini prinsip yang berani atau sesuatu yang sama sekali kurang bijak?

Itu soalan yang harus dijawab oleh Postecoglou.

Menyebut tentang corak serangan, ia tidak dinafikan bahawa aspek itu mampu Spurs banggakan.

Biarpun tanpa pemain-pemain penting, Spurs masih mencatatkan sebanyak 18 percubaan terhadap pintu gol Villa dan merekodkan penguasaan bola setinggi 62%.

Sayangnya, angka-angka tersebut gagal diterjemahkan kepada gol, malah lebih daripada beberapa kali jaringan pasukan mereka dibatalkan gara-gara ofsaid yang nyata.

Antara pelbagai kritikan yang dilontarkan, salah satunya berbunyi “Sikap waspada yang tidak wujud dalam diri Postecoglou mungkin merupakan perbezaan di antara kelayakan ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan juga kekecewaan buat sekian kalinya.”