LIGA SUPER MSIA
Kedah, KL City hanya ada talian hayat terakhir kekal dalam Liga Super
Badan bebas, First Instance Body (FIB), hari ini memaklumkan bahawa Kuala Lumpur City FC (KL City) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah gagal membuat bayaran 50 peratus daripada jumlah tunggakan gaji bagi tahun 2023 pada tarikh pertama 15 Mac 2024 seperti yang ditetapkan.
Umum mengetahui bahawa KL City baru sahaja mengalami perubahan pengurusan peringkat tertinggi dan Penaung KL City, Fahmi Fadzil, menerusi laporan media sebelum ini telah tampil menyatakan untuk menyelesaikan urusan gaji tertunggak itu dengan segera.
Selain itu, FIB juga telah menerima surat rasmi daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), yang bersetuju menyalurkan sumbangan bagi menyelesaikan bayaran tunggakan gaji KL City bagi tahun 2023 sebelum akhir Mac 2024.
Sementara itu, KDA FC telah menyerahkan bukti pembayaran sejumlah RM600,000 sebagai bayaran sebahagian tunggakan gaji semasa.
Bagaimanapun, ia tidak mematuhi bayaran 50 peratus daripada jumlah tunggakan gaji seperti ditetapkan FIB.
Namun begitu, FIB telah menerima bukti kewangan sumber dana yang akan diterima KDA FC dalam masa terdekat.
Walaupun FIB memberi ruang untuk KL City dan KDA FC menyelesaikan tunggakan gaji atas komitmen tinggi kedua-dua kelab itu, FIB bersedia untuk mengenakan tindakan ke atas kedua-dua kelab itu untuk memastikan pematuhan kepada arahan FIB dihormati dan dipandang serius.
Sekiranya KL City dan KDA FC gagal menyelesaikan kesemua jumlah tunggakan gaji berkenaan pada tarikh kedua 30 Mac 2024, hukuman pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super musim 2024-25 dan denda sebanyak RM50,000 akan dikenakan dengan serta merta berdasarkan kepada Peraturan Pelesenan Kelab MFL Edisi 2023 “Article 2.4 (c) Licensing Sanctions”.
FIB juga akan menilai semula status lesen kelab tersebut jika tidak mematuhi tarikh akhir kedua pembayaran tunggakan gaji serta tidak memiliki kewangan kukuh untuk terus bersaing dalam musim Liga Malaysia yang akan datang.