BOLA SEPAK

KDMM FC sasar mara separuh akhir, intai peluang beraksi dalam Liga Perdana

Public Anonymous User 29/01/2017 | 20:07 MYT
Kelab yang mewakili Sabah dalam saingan Liga FAM, KDMM FC, bukan sahaja menyasarkan untuk layak ke separuh akhir musim ini, malah turut mengintai peluang untuk beraksi dalam Liga Perdana pada musim depan.
Presidennya, Datuk Peter Anthony, berkata kejayaan melangkah ke suku akhir pada penampilan pertama mereka dalam saingan 'divisyen tiga' negara itu, musim lalu, menjadi pendorong untuk mereka meletakkan sasaran lebih jauh musim ini.
"Jika musim lalu kami berjaya layak ke suku akhir, pada tahun ini kami sasarkan separuh akhir dan mungkin jika ada rezeki, kami juga mahu beraksi dalam Liga Perdana musim depan," katanya ketika ditemui selepas majlis pengenalan pemain dan pelancaran jersi pasukan berkenaan, di Kota Kinabalu, semalam.
Peter berkata, pasukannya telah bersiap sedia 100 peratus dan tumpuan kini adalah perlawanan pertama mereka musim ini, saingan Piala FA iaitu pada 15 Februari depan.
Katanya, KDMM FC juga telah menyenaraikan 23 pemain yang telah dipilih menerusi sesi pemilihan di beberapa daerah termasuk di pedalaman Sabah sebelum ini.
"Ia termasuk pemain yang pernah beraksi bersama skuad negeri sebelum ini, sama ada daripada skuad Liga Perdana, Piala Presiden dan juga pasukan Piala Belia Bawah 19 Tahun (B-19).
"Kami sebenarnya memiliki ramai pemain yang telah disenaraikan sebelum ini, bagaimanapun, kami harus memilih yang terbaik di kalangan terbaik agar KDMM FC mampu menjadi antara pesaing dalam saingan Liga FAM musim ini," katanya.
Terdahulu, majlis pelancaran jersi baharu KDMM FC untuk musim 2017 disempurnakan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal.
Shafie menegaskan skuad KDMM FC bukanlah platform parti politik yang ditubuhkannya baru-baru ini.
"KDMM FC telah wujud sebelum lahirnya parti Warisan Sabah, janganlah kita politikkan sesuatu agar ia mendatangkan kebaikan untuk semua.
"Sukan bola sepak adalah sukan yang mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum, agama serta ideologi," katanya.
Senarai pemain dan pegawai KDMM FC untuk musim 2017:
Penjaga gol : Aldrian Agus, Lim Chin Fong, Shairul Boidi
Pertahanan : Azizul Madirin, Hardy Charles Parsi, Md Zulfadlisham, Rickson Pang Tabias, Md Ikmal Akid, Jose Sua Jubin, Billy Doliente, Ahmad Sabri.
Pemain tengah : Mohd Helmi Sudin, Fneckly Baris, Mohd Arfiyansah, Rick Marseel, Melky Balang, Aldrine Agus, Felexsius Amil, Saiful Sani, Rexjeson Pitirus.
Penyerang : Yazili Yunat, Shafie Talib, Klinsmon Aribulan.
Pengurus : Henry Soimpon.
Penolong pengurus : Ebby Roy, Rizal Awg Jad.
Ketua jurulatih : Andrew Majanggim.
Penolong jurulatih : Salvester Sindih.
Jurulatih penjaga gol : Austin Orou.
Jurulatih kecergasan : Jorrye Jakiwa
Fisio : James Edwin.
;