LIGA SUPER MSIA

KBS teliti masalah pengurusan bola sepak

Sinar Harian 17/12/2022 | 12:20 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan merangka tindakan bagi meneliti permasalahan yang membelenggu pengurusan bola sepak di negara ini termasuk Harimau Melaka FC membabitkan isu tunggakan gaji pemain.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim, berkata langkah itu penting bagi mencari punca kelab yang sebelum ini dikenali Melaka United FC gagal menjelaskan gaji pemain sama ada disebabkan penaja menarik diri atau sebaliknya.
Menurutnya, sebelum diwujudkan pelan tindakan itu, kementerian akan bertemu serta berbincang dengan pihak pengurusan kelab agar terdapat kaedah terbaik dalam penyelesaian masalah yang telah berlanjutan beberapa bulan itu.
"Kalau penajaan ditarik dan sebagainya kena cari penaja lain, kena selesaikan masalah sebenar, selidik betul-betul dan perlu duduk berbincang.
"Perlu ada rangka tindakan untuk selesaikan isu tunggakan gaji ini yang berulang dalam sukan bola sepak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Melaka Open Speed Skating Challenge 2022 di Stadium Fatimah, hari ini.
Adam Adli yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, masalah tunggakan gaji pemain sememangnya dalam pengetahuan beliau, namun ia bukan di bawah bidang kuasa kementerian untuk mengeluarkan sebarang arahan pembayaran gaji kerana kelab Harimau Melaka FC di bawah pengurusan pihak swasta.
"Masalah ini ada jalan keluar, hanya perlu datang dengan solusi tepat, kena ada kerjasama yang baik dalam kalangan penggerak sukan untuk memastikan isu ini tidak berulang,” katanya lagi.
Kredit: Sinar Harian
#bola sepak #KBS
;