Kapsul Sukan Olimpik Paris: Pahit jerih Shah Firdaus menuju ke pentas tertinggi

Muzaffar Musa
Jun 23, 2024 21:17 MYT
Tidak mudah buat pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, untuk berada di tahap yang cukup cemerlang dan membanggakan seperti ketika ini.
Mengenang kembali segala susah payahnya hanya untuk menceburi bidang yang diminati, Shah Firdaus pada ketika itu merupakan satu-satunya dalam kalangan keluarganya menceburi bidang sukan.
Siapa sangka, dia kini bakal membuat penampilan keduanya dalam Sukan Olimpik menerusi edisi di Paris bulan depan, biarpun pada satu ketika hala tujunya dalam sukan itu diragui ramai.
Dalam Kapsul Sukan Olimpik Paris yang disiarkan dalam Nadi Arena sebentar tadi, dia berkata: "Ia amat bermakna kerana ia merupakan satu-satunya temasya yang semua atlet dalam dunia ini mahu bersaing.
"Sasaran terunggulnya sudah pasti adalah untuk memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik.
"Sasaran itu sudah saya tetapkan sejak kali pertama saya menyertai sukan berbasikal dan kali pertama saya berjumpa dengan Datuk Azizulhasni (Awang), dia baru sahaja pulang daripada Sukan Olimpik London (2012).
"Waktu itu saya baru mula berkayuh dan ketika itu juga saya sudah meletakkan sasaran untuk satu hari nanti dapat berada di pentas Sukan Olimpik juga.
"Alhamdulillah, selepas beberapa tahun bekerja keras, saya dapat layak ke Sukan Olimpik pertama saya di Tokyo 2020 dan kali ini akan menjadi Sukan Olimpik kedua saya."
Mengulas mengenai cabarannya untuk sampai ke tahap ini, Shah Firdaus menambah: "Saya perlu menghadapi terlalu banyak kecederaan. Saya banyak kemalangan sewaktu berlumba.
"Saya pernah terpaksa berlumba dengan tulang bahu yang patah dan ketika itu, ia waktu paling mencabar dan jika saya imbas semula, saya juga tidak percaya apa yang saya lakukan.
"Ia salah satu perkara paling gila yang saya pernah buat.
"Sebenarnya, tiada dalam ahli keluarga saya seorang ahli sukan. Saya juga tidak jangka saya akan menjadi seorang atlet.
"Saya membesar di Muar dan pernah bergaul dengan kawan-kawan dan 'merempit'.
"Secara tiba-tiba, saya yang suka ikut-ikut kawan, Alhamdulillah, Tuhan gerakkan saya untuk ikut kawan ke arah sukan ini.
"Ketika mula-mula keluarga saya tahu saya mahu menceburi sukan ini, banyak tentangan yang saya hadapi dari saudara-mara saya kerana menganggapnya tidak boleh buat duit tetapi Alhamdulillah, ibu bapa saya sentiasa memberikan sokongan asalkan ia yang terbaik buat saya."
#Sukan Olimpik Paris 2024 #Kapsul Sukan Olimpik Paris
;