BOLA SEPAK

Kami tidak lepas tangan, kata Presiden KLFA kepada KL Rovers

Najmi Iman 28/12/2024 | 11:12 MYT
Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar, memaklumkan secara peribadi bahawa pihaknya pernah menghulurkan bantuan kepada Kuala Lumpur Rovers meskipun pasukan itu bukanlah di bawah tanggungan KLFA.
Syed Yazid mempercayai skuad kendalian Wan Mustaffa Wan Ismail itu mempunyai potensi yang tinggi untuk kekal bersaing merebut kejuaraan Liga A1 Semi-Pro selepas menghuni kedudukan ketiga menerusi 13 kemenangan, musim ini.
"Kami tidak lepas tangan kerana mengikut kepada tempat bertanding, mereka masih menggunakan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sebagai rumah rasmi.
"Kami juga membantu daripada segi pusat latihan.
"Sebelum ini, saya ada berjumpa dengan jurulatih dan pemain di mana saya menjelaskan KLFA bukan pemilik KL Rovers. Saya perlu bertemu semula mereka supaya tiada sebarang isu berbangkit selepas ini," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Dalam perkembangan sama, Syed Yazid turut mengesahkan KLFA sedang meneliti tawaran daripada tiga syarikat konglomerat untuk mengambil alih KL Rovers.
Dia mendedahkan satu daripada entiti tersebut merupakan syarikat tempatan selain dua daripadanya ialah berasal daripada luar negara, namun pihaknya memerlukan tempoh masa sebelum memuktamadkan sebarang keputusan.
"Setakat ini, ada tiga pembeli menunjukkan minat. Ia masih dalam perbincangan terutamanya harga.
"Sudah tentu saya perlu menyelidik punca kewangan sebenar mereka dan sumber. Saya tidak mahu KL Rovers menerima unsur-unsur yang tidak sepatutnya," tambahnya.
#Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur #KLFA #Kuala Lumpur Rovers #Syed Yazid Syed Omar
;