LIGA PERDANA MSIA

Kami hormati MIFA -- Shakir

Penulis Jemputan 02/02/2018 | 07:32 MYT
Dua kemenangan besar MIFA dalam aksi persahabatan ke atas Selangor dan kelab dari Singapura, Home United, membuat ketua pasukan Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Mohd Shakir Shaari, tidak senang duduk menjelang aksi sulung kedua-dua pasukan dalam Liga Perdana di Stadium AirAsia MBPJ, Petaling Jaya, malam ini.
Persiapan MIFA nampak lebih tersusun, tambahan dengan peningkatan peruntukan lebih 70 peratus diberikan oleh pengurusan berbanding tahun lalu.
Mereka juga berjaya menewaskan Melaka 2-1 dalam perlawanan persahabatan terakhir, 26 Januari lalu.
Maka, tidak hairanlah pemain tengah berpengalaman kelahiran Kelantan itu tidak mahu rakan sepasukannya memandang rendah kemampuan MIFA.
"MIFA dalam perlawanan persahabatan, mereka nampak bagus. Mereka banyak kali menang, termasuk menentang Selangor.
"Maksudnya mereka pasukan yang bagus dan kami menghormati mereka. Kami perlu berjaga-jaga," katanya.
Shakir, yang sudah empat tahun bersama JDT, bersyukur dengan peranan baru selaku ketua pasukan JDT II.
Jelasnya, dia mempunyai tanggungjawab yang berat dalam membentuk 11 pemain bawah 21 tahun dalam pasukan itu.
"Bagi saya, ini adalah cabaran baru sebab bermain dengan pemain muda dalam liga baru bagi saya.
"Ia satu cabaran baru untuk saya. Saya akan cuba membantu mereka dan saya berharap kami dapat mencapai kejayaan," katanya lagi.
;