Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan pencabar terbesar, namun penjaga gol Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi tetap optimis dengan kemampuan anak buah kendalian Nafuzi Zain itu untuk memberikan yang terbaik sekaligus tekad untuk mengelak gawangnya daripada 'dikerjakan' skuad Harimau Selatan.

Tiada gentar buatnya untuk berhadapan dengan rejim berbisa anak buah Esteban Solari -- selain meletakkan sandaran kepada barisan penyerangnya yang berkemungkinan diterajui, Manuel Hidalgo, Willian Lira, dan Fayadh untuk sekurang-kurangnya menyukarkan kerja kem JDT di Stadium Sultan Ibrahim nanti.

Tiada apa yang mustahil buat Kalamullah dan rakan-rakan, namun apa yang penting, Kedah bersedia sepenuhnya untuk mengelak melakukan kesilapan yang bakal menghukum mereka sendiri.

"Semua pemain sudah fokus dalam latihan dan membuat persiapan berdepan JDT," katanya.

"Kami mahu memastikan tidak dibolosi awal dan mendapatkan banyak jaringan itu menjadi sasaran utama pasukan berdepan JDT.

"Beraksi di tempat lawan, ia adalah sukar buat mana-mana pasukan namun apa sahaja boleh berlaku dan kami mahu mempamerkan aksi terbaik sebagai satu pasukan dan berharap keputusan memihak kami."