Penjaga gol Kedah Darul Aman FC, Kalamullah Al-Hafiz mengenepikan isu luar padang apabila awal-awal lagi mengisytiharkan Liga Malaysia musim 2024/2025 sebagai pentas kebangkitan dalam kariernya.

Dalam temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam meluahkan hasrat dan impiannya untuk kembali menyertai barisan penjaga gol skuad kebangsaan tahun ini.

"Memang agak kecewa bila tengok nama tiada dalam skuad kebangsaan untuk ke Piala Asia.

"Saya berharap boleh dapatkan prestasi yang terbaik dan sokongan dari penyokong Kedah untuk menaikkan semangat semua pemain di KDA FC.

"Saya akan buat yang terbaik untuk Kedah, dan naikkan prestasi saya balik untuk dapatkan tempat saya dalam skuad kebangsaan,"katanya.

Musim pertama yang mencabar buat Kalamullah apabila dibelenggu prestasi tidak konsisten bersama skuad Sang Kenari sehingga kehilangan tempat dalam skuad kebangsaan.

Ia selepas menyaksikan namanya tercicir daripada senarai utama dipilih untuk beraksi di Piala Asia Qatar ketika dia telah membarisi skuad negara sejak kempen kelayakan kejohanan itu lagi.

"Dua ke tingga minggu juga nak lupakan apa yang berlaku ketika perlawanan itu.

"Jurulatih (Nafuzi Zain) pun tak meletakkan saya dalam kesebelasan utama untuk perlawanan seterusnya bertemu Penang FC.




"Saya pun mengambil masa untuk bercuti dan merehatkan minda. Selepas pada itu, baru saya kembali mendapatkan kepercayaan jurulatih untuk perlawanan berikutnya,"kongsinya.

Apa pun, bekas penjaga gol PJ City Fc itu mengakui pengalaman buruk musim lalu dijadikan iktibar susulan kesilapannya ketika aksi Piala Malaysia bertemu pasukan Perak di Stadium Darulaman Ogos tahun lalu meninggalkan kesan mendalam kepada dirinya.