Oliver Kahn mengkritik barisan pemain Bayern Munich atas persembahan mereka dalam kekalahan 1-3 di Mainz, tetapi mengelak daripada menuding kesalahan terhadap pengurus, Thomas Tuchel, atas kemerosotan mereka sekarang.
Bayern tercicir mata Bundesliga buat kali kedua berturut-turut malam tadi, secara tidak langsung melepaskan kedudukan puncak kepada Borussia Dortmund yang menewaskan Eintracht Frankfurt 4-0.
Walaupun hanya memenangi dua daripada tujuh perlawanan pembukaannya sebagai pengurus, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern itu percaya Tuchel tidak berhak menerima sebarang kritikan berhubung keputusan sepanjang bulan lalu.
"Thomas Tuchel merupakan orang terakhir yang perlu kita bincangkan sekarang," kata Kahn kepada pemberita.
Tuchel menggantikan kerusi panas milik Julian Nagelsmann bulan lalu tetapi sudah pun menyaksikan Bayern terkandas daripada Liga Juara-Juara (UCL) dan DFB-Pokal di peringkat suku akhir.
“Dia melakukan segala yang terdaya untuk memacu kalangan pemain ini.
Full time. pic.twitter.com/kthsNS6eV4
— FC Bayern Munich (@FCBayernEN) April 22, 2023
"Terdapat 11 orang di atas padang yang perlu bekerja keras demi mencapai matlamat kelab ini. Apa yang ditunjukkan pasukan ketika di atas padang tidak mencukupi."
Kahn dan Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic, berada di bawah tekanan hebat dengan Bayern berisiko terlepas gelaran Bundesliga buat kali pertama sejak musim 2011-12.
"Saya tidak mempunyai masalah dengan kritikan," katanya lagi.
"Saya telah melalui banyak perkara sepanjang karier saya ini dan saya tahu apa ertinya apabila keadaan tidak berjalan lancar di Bayern. Kami semua perlu bertanggungjawab.
"Di sebalik prestasi buruk ini, kami masih boleh muncul juara Jerman musim ini. Satu-satunya objektif saya ialah menamatkan musim ini sebagai juara dan memulakan kempen musim depan."