Kad merah jejaskan peluang Kedah raih mata di laman sendiri -- Victor Andrag
Ammar Hakim
Mac 4, 2023 23:39 MYT
Mac 4, 2023 23:39 MYT
Penolong Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag, mengakui skuad Sang Kenari gagal menterjemah permainan terbaik dalam kekalahan mengejut 1-0 ke atas PDRM FC dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.
PDRM melakar kejutan apabila merekodkan kemenangan 1-0 ke atas Kedah Darul Aman FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.
Layangan kad merah ke atas Manuel Ott dan ketua jurulatih, Nafuzi Zain, memberikan impak kepada Kedah sebelum akur dengan kekalahan apabila PDRM memperoleh kemenangan pertama musim 2023 hasil jaringan yang disempurnakan oleh Bruno Suzuki.
Selepas tamat perlawanan, Victor, menjelaskan Kedah terlalu inginkan kemenangan di laman sendiri sehingga gagal menghadirkan permainan terbaik.
"Tahniah kepada PDRM kerana menghadirkan permainan yang terbaik sekaligus mendapatkan kemenangan dalam perlawanan ini," katanya.
"Ya, kami mengakui gagal bermain dengan seperti apa yang telah dirancangkan dan ia menjadi punca kegagalan kami mendapatkan mata di sini.
"Dalam perlawanan ini, kehilangan individu dalam pasukan ekoran layangan kad merah, ia memberikan impak kepada pasukan. Bermula dengan pemain kemudian ketua jurulatih pula dilayangkan kad merah. Saya berharap kami akan bangkit dalam perlawanan akan datang.
"Kami mengakui Kedah berusaha mendapatkan jaringan dalam perlawanan ini, beraksi di laman sendiri kami mahukan mata penuh namun fokus pasukan terjejas dengan beberapa insiden dalam perlawanan.
Jurulatih PDRM, Azzmi Aziz, mahukan dirinya dan pasukan menikmati kemenangan pertama yang diperoleh ke atas Kedah, sekaligus mahu ia dijadikan sebagai penyuntik semangat untuk menempuhi saingan Liga Malaysia musim ini.
"Kami bersyukur atas kemenangan pertama selepas tiga perlawanan dan jaringan Bruno Suzuki merupakan yang pertama buat pasukan buat musim ini," kata Azzmi.
"Kedah menghadirkan permainan yang berkualiti sepanjang permainan. Saya sangat gembira dengan separuh masa pertama dengan berjaya terikat tanpa jaringan.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai kemenangan kami ini seperti satu tuah sebaliknya mahu menikmati kemenangan yang telah diperoleh pasukan dan membuat persiapan bagi saingan seterusnya."