Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, meraih gelaran pertamanya sebagai pengendali Ulsan HD apabila kelab itu dinobatkan juara K-League -- biarpun berbaki dua perlawanan liga -- sebentar tadi.
Ulsan menewaskan pencabar terdekat, Gangwon, 2-1 di Stadium Ulsan hasil jaringan Giustav Ludwigson (m-36) dan Joo Min-Kyu (m-54).
Lee Sang-heon kemudian merapatkan jurang buat Gangwon pada minit ke-60 tetapi itu belum cukup untuk menafikan kemenangan ke-20 Ulsan musim ini.
Kemenangan itu menyaksikan Ulsan melebarkan penguasaan kepada tujuh mata dengan keseluruhan 68 mata musim ini, sekali gus tidak lagi dapat dipintas Gangwon.
Sebagai rekod, Pan-gon dilantik sebagai ketua jurulatih skuad negara pada 21 Januari 2022 sebelum melepaskan jawatan itu pada 16 Julai lalu.
Muzaffar Musa
Fri Nov 01 2024