BOLA SEPAK MSIA
Juan Torres Garrido puas hati prestasi semasa skuad muda negara
Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Juan Torres Garrido, berpuas hati dengan prestasi semasa skuad muda negara dalam aksi persahabatan kedua berdepan Kemboja di Stadium UITM, Shah Alam, semalam.
Pertembungan yang dijadikan sebagai persiapan menjelang kejohanan B-19 ASEAN di Surabaya, Indonesia itu meletakkan skuad negara di kedudukan selesa sebelum Kemboja menyamai keputusan 2-2 dalam separuh masa pertama.
Gol pembukaan skuad negara dijaringkan seawal minit ke-14 menerusi Danish Hakimi Sahaludin diikuti oleh Muhammad Arami Wafiy pada minit ke-25 untuk mendahului dengan jaringan 2-0.
Namun kurang satu minit kemudian, Kemboja meledak dua jaringan menjadikan keputusan 2-2 sebelum menuju waktu rehat.
Mula hilang fokus menjadi alasan ketika skuad negara dibolosi dua jaringan pihak lawan, namun skuad kendalian Juan Torres Garrido itu bangkit menambah dua jaringan bergaya termasuk gol lewat menerusi Izzat Muhammad Syahir.
Dengan kemenangan 4-2 itu sekali gus Malaysia memperbaiki rekod terdahulu iaitu 2-2 ketika menentang pasukan yang sama pada perlawanan persahabatan yang berlangsung Rabu lalu.
"Saya rasa aksi hari ini lebih baik daripada sebelum ini, pemain bermula dengan baik dan saya berpuas hati buat masa ini.
"Pasukan ini sudah mula fahami apa yang saya kami inginkan ketika beraksi di atas padang dan saya rasa prestasi mereka semakin meningkat." katanya.