PIALA MALAYSIA
Joseph akui Pahang lepas geram ketika ratah PKNP
Joseph Kalang Tie dan Pahang tidak berselindung dengan niat menjadikan PKNP mangsa melepas geram susulan kemenangan 6-0 di Kuantan malam tadi untuk menyelamatkan kempen Piala Malaysia mereka.
Selepas satu kekalahan dan tiga seri dalam saingan Kumpulan A, Pahang menyedari mereka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada perebutan Piala Malaysia musim ini seandainya tewas kepada PKNP.
Pahang enggan mengibarkan bendera putih, sebaliknya mempamerkan persembahan mantap dengan meledak tiga gol dalam separuh masa pertama -- jaringan dihasilkan oleh Wan Zaharulnizam Zakaria dan Joseph berjaya mencipta dua gol.
Iklan
Wan Zaharulnizam menjadikan kedudukan 4-0 selepas tujuh minit permainan bersambung dalam babak kedua sebelum jaringan Afif Amiruddin dan Matheus Alves mengesahkan kemenangan 6-0 Pahang di laman sendiri.
"Kami mahu cuba memberikan yang terbaik untuk Pahang. Tiga mata di Kuantan memastikan kami dapat terus beraksi dalam saingan Piala Malaysia," kata Joseph.
Penolong ketua jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi, sama sekali tidak menyangka anak buahnya bukan sahaja menyempurnakan setiap peluang di depan gawang, malah turut beraksi cemerlang mengawal kubu sendiri.
Pahang memutlakkan kemenangan 6-0 menerusi tiga lagi jaringan pada separuh masa kedua sebagai bekalan semangat untuk mengharungi aksi akan datang.
"Kami tidak menjangkakan kemenangan besar berjaya dihasilkan. Ia merupakan satu kemenangan yang mampu meningkatkan semangat pasukan untuk menghadapi perlawanan berikutnya," kata Shaharuddin.
Must-Watch Video