BOLA SEPAK MSIA

John Hutchinson jurulatih baru Harimau Malaya?

Saufi Tahir 11/12/2024 | 00:29 MYT
Bekas pemain kebangsaan Malta, John Hutchinson, dikhabarkan bakal dilantik dalam masa terdekat oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai jurulatih baru Harimau Malaya susulan revolusi penstrukturan baru pengurusan bola sepak negara.
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan skuad negara bakal mempunyai jurulatih dan pengarah yang sedang mengumpul data pemain Malaysia di Liga Super.
"Jurulatih baharu dan pengarah sukan sedang mengumpul data pemain Malaysia di Liga Super dan yang berada di luar negara.
"Ia tidak mudah dan memerlukan masa, tetapi perlu bermula daripada sekarang termasuk rangka kerja untuk jangka masa panjang," katanya menerusi laman X.
Untuk rekod, jurulatih berusia 44 tahun itu sedang mengurus kelab daripada Liga Jepun (J1), Yokohama F. Marinos dan sedang mendahului dalam saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Selain melebarkan karier sebagai pengurus di Jepun, Hutchinson turut pernah membawa Central Coast Mariners, Western United dan El Paso Locomotive dalam kancah Liga Australia dan sekiranya dia dilantik sebagai pengurus baru Harimau Malaya, ini merupakan kali pertama dia bertindak dalam pengurusan antarabangsa.
Malah, dia dijangkakan akan mengisi tempat kosong yang akan ditinggalkan Pau Marti Vicente selaku ketua jurulatih selepas pengendali kelahiran Sepanyol itu akan meletakkan jawatannya sejurus tamat kempen skuad negara di Piala ASEAN Mitsubishi Electric (AMEC) 2024.
#bola sepak #Harimau Malaya #John Hutchinson
;