Diego Simeone kesal dengan kemelut kecederaan Atletico Madrid makin meningkat menjelang pertembungan dengan Granada, awal pagi esok, selepas khidmat Joao Felix perlu diketepikan untuk baki musim ini.

Atletico menerima tamparan hebat dalam usaha mereka merebut kedudukan empat teratas LaLiga apabila penyerang Portugal itu mengumumkan musimnya sudah berakhir selepas mengalami kecederaan hamstring.

Pemain berusia 22 tahun itu sekadar mencatat lapan gol dalam 24 perlawanan liga dan hanya dipertaruhkan 13 kali dalam kesebelasan utama LaLiga musim ini sejak dibeli daripada Benfica pada 2019.

Tetapi selepas mengalami kecederaan dalam kemenangan 2-1 ke atas Espanyol minggu lalu, dia pasti tidak akan dapat lagi menambah 10 gol dan lima bantuan jaringannya dalam semua kejohanan musim ini apabila menyertai senarai panjang kecederaan Atletico yang turut disertai Thomas Lemar.

Simeone berkata kecederaan itu hadir tidak kena pada masanya tatkala pasukannya berusaha untuk menjamin tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim depan sambil menyatakan Joao Felix berada dalam prestasi hebat sebelum ditimpa berita kurang enak tersebut.

"Kami kehilangan mereka (Joao Felix dan Lemar) sementara Hector Herrera dan Jose Gimenez sedang menunggu untuk kembali berlatih. Kami berharap mereka dapat diturunkan selepas perlawanan ini," kata Simeone dalam sidang akhbar pra-perlawanan itu.

“Kami kehilangan Joao yang dalam detik hebat apabila mula mendapat rentak. Lemar pula sentiasa menawarkan kami sesuatu yang berbeza ketika peralihan pertahanan kepada menyerang.

"Memang terkilan. Kecederaan mereka berlaku ketika kami melalui situasi buruk tetapi saya mempunyai pemain lain yang menunggu peluang untuk beraksi dan terpulang kepada semua pemain untuk terus bersaing sebagaimana yang kami lakar kebelakangan ini."