ACLE
JDT tambah tonik baharu menjelang aksi Liga Juara-Juara Asia Elit
Pendahulu Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta'zim semakin serius untuk memperbaiki kedudukan dalam carta Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) apabila dilihat memperkuat pasukan bagi menghadapi baki saingan kejohanan tersebut.
JDT baru-baru ini memperkenalkan 3 pemain baharu mereka bagi menambah kekuatan pasukan terutamanya bagi menghadapi cabaran Central Coast Mariners dan Pohang Steelers.
Kehadiran 3 pemain import baharu JDT, Alvaro Gonzalez, Jonathan Viera, dan Roque Mesa bakal menjadi tonik tambahan bagi menambah sengat pasukan menjelang 2 aksi terakhir kumpulan di ACLE.
JDT kini menduduki tempat ke-6 kumpulan A dengan memungut 8 mata selepas 6 perlawanan, di belakang Yokohama FM, Gwangju, Vissel Kobe, Kawasaki Frontale, dan Pohang Steelers.
Baki saingan kumpulan menyaksikan JDT akan bertandang ke Central Coast Stadium untuk menentang Central Coast Mariners pada Selasa, 11 Feb 2025 manakala perlawanan menentang Pohang Steelers pada Selasa 18 Feb 2025 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.