LIGA SUPER MSIA
JDT selangkah pertahan Liga Super kali ke-11
JDT 4 PDRM 0
Johor Darul Ta'zim (JDT) selangkah lagi untuk mempertahankan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut apabila menjinakkan PDRM 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), sebentar tadi.
Kesungguhan Harimau Selatan untuk menjamin kemenangan terbukti apabila menurunkan enam pemain import dalam barisan utamanya dan memerlukan minit ke-14 untuk memecah kebuntuan perlawanan menerusi Jorge Obegron.
Pemain import dari Colombia itu melepaskan satu tendangan rendah yang tidak terjangkau oleh penjaga gol pelawat, Robson Rendy.
JDT mengukuhkan kedudukan kepada 2--0 menerusi tandukan La'Vere Corbin-Ong hasil sepakan sudut Juan Muniz pada minit ke-39.
Jese Rodriguez terus menggamatkan stadium pada minit ke-55 selepas menyambar lorongan 'trivela' seorang lagi pemain import, Park Jun-heong, pada minit ke-54.
Dan pemain naturalisasi negara, Romel Morales, meledak jaringan keempat pada minit ke-81 untuk memadam kekecewaan diikat Sang Saka Biru 1-1 dalam pusingan pertama di Selayang, Julai lalu.
Anak buah Hector Bidoglio itu akan berjuang dalam Liga Juara-Juara Elit (ACLE) AFC bertemu Central Coast Mariners di Australia sebelum melayani kunjungan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers, terlebih dahulu dalam misi memuktamadkan kejuaraan Liga Super bertemu Perak di laman sendiri, 27 Februari depan.