JDT 3 TERENGGANU 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) melengkapkan 'quadruple' berganda apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi final Piala Malaysia yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.


Sejarah kini tercipta, JDT muncul pasukan pertama menjuarai empat gelaran dalam tempoh dua musim berturut-turut susulan memenangi saingan Piala Malaysia di SNBJ.

Juara Liga Super 10 kali itu hanya memerlukan lima minit usia permainan, apabila pengadil perlawanan, S Logeswaran, menawarkan JDT untuk memecah kebuntuan perlawanan selepas mendapati Fernando Forestieri dijatuhkan sebelum disudahkan Bergson da Silva pada minit ke-6.

Ivan Mamut -- yang berdepan kesukaran untuk menggempur pintu gol Harimau Selatan -- tidak mensia-siakan peluang terhidang pertama buat Sang Penyu menerusi sepakan penalti sebaik melepasi dan dikasari Jordi Amat.

Pemain Paling Bernilai (MVP), Arif Aiman Hanapi, pula mengharungi malam yang agak sunyi sepanjang 45 minit walaupun beberapa hantaran jauh membuka ruang buatnya.



JDT dihimpit masalah kecederaan di awal saingan separuh masa kedua, Corbin Ong gagal meneruskan permainan digantikan oleh Syahmi Safari sementara Feroz Baharuddin menggantikan Shane Lowry.

Terengganu mempamerkan gerakan yang lebih cemerlang sejak permulaan separuh masa kedua, berusaha mencari peluang untuk menembusi benteng akhir JDT.

Dan pada minit ke-63, hantaran Sonny Norde mencari Mamut namun percubaannya dinafikan Syihan.

80,550 penonton yang hadir menyaksikan JDT menemui ruang untuk mendapatkan jaringan kedua, tandukkan Feroz pada minit ke-73 menembusi gawang sekaligus kembali meletakkan mereka di hadapan.

Ketika Terengganu memburu jaringan dengan membawa masuk Liridon Krasniqi, JDT menambah jaringan ketiga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Arif Aiman.

Kemenangan ini menyaksikan JDT berjaya mempertahankan kesemua kejuaraan -- Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia bagi musim 2023 sekaligus mengulangi kejuaraan quadruple yang dimenangi musim lalu.