Jasa Azzmi Aziz usah dilupakan
Asmawi Bakiri
Disember 19, 2023 21:38 MYT
Disember 19, 2023 21:38 MYT
Sumbangan kepakaran tiga jurulatih secara silih-berganti menyumbang kepada kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC tampil selaku antara lapan pasukan terbaik dalam Liga Super 2023 yang baru melabuhkan tirainya.
Di antara ketiga-tiganya, tiada siapa yang dapat katakan bahawa seorang telah melakukan lebih baik daripada yang lain kecuali mereka sama-sama menyumbang kepada kejayaan Sang Saka Biru untuk menepati sasarannya.
Asas yang dibina dari pramusim oleh Azzmi Aziz kemudian disambung Eddy Gapil di peringkat pertengahan liga, meneruskan momentum yang tercipta untuk kemudiannya disudahkan oleh Datuk Yunus Alif hingga ke garis penamat.
Janganlah kerana rezeki jurulatih di penghujung, jasa jurulatih asal hendak dilupakan. Tidak akan ada pengakhiran yang baik tanpa permulaan yang cemerlang juga – hakikat inilah yang harus diterima oleh semua, tambahan oleh pengurusan dan penyokong skuad The Cops itu sendiri.
Mari kita imbau kembali bagaimana PDRM FC meniti kebangkitannya hingga ia mencetus sensasi pada awal musim hingga pengulas Astro Arena pernah mengangkat Azzmi selaku jurulatih terbaik bulanan.
Ini berlaku pada minggu keenam Liga Super (LS6) apabila pundit, mendiang B. Sathianathan, mengangkat The Cops sebagai pasukan terbaik sambil mengingatkan bahawa PDRM FC akan mendapati laluan mereka jauh lebih mencabar selepas itu.
“Untuk enam minggu, pasukan-pasukan dalam Liga Super sekadar memerhatikan PDRM. Selepas ini, setiap lawan yang akan berhadapan mereka akan melakukan persiapan rapi dan tidak sekali-kali akan mengambil mudah.
“Pada peringkat inilah, PDRM akan benar-benar teruji. Dipandang rendah sebelumnya, mereka menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan kedudukan tapi mungkin tidak akan mendapatinya mudah selepas ini,” kata bekas jurulatih kebangsaan itu.
PDRM FC ketika itu membuka tirai musim dengan dibelasah 4-0 oleh Sabah FC, kemudian seri 0-0 dengan Perak FC. Tanpa ramai menduga, mereka melakukan perjalanan ke Alor Setar untuk pulang berberbekal kemenangan 1-0 bagi tiga mata pertamanya.
Tewas 0-1 kepada Terengganu FC di tempat lawan, mereka jadikan pula Kelantan United sebagai mangsa dalam kemenangan 2-0. Kejayaan mengalahkan Kuching City FC 1-0 kemudian menyaksikan mereka kurang bernasib baik tunduk 1-2 kepada Sri Pahang FC di sebalik lebih banyak menyerang.
Berselang empat lagi kekalahan sesudah itu, keputusan 4-1 ke atas Kelantan FC pada 23 Mei mengembalikan mereka ke landasan kemenangan.
Apa yang menyusul sesudah itu umpama cerita dongeng. The Cops mengejutkan Selangor FC 1-0, Sabah FC dengan keputusan serupa dan Perak FC 2-1 untuk memberikan mereka sejumlah sembilan mata berharga.
Namun, entah di mana silapnya selepas kemenangan ke atas anak buah Datuk Ong Kim Swee itu, pengurusan PDRM FC membuat kejutan dengan mula-mula merehatkan dan kemudian memecat Azzmi pada 19 Jun.
Eddy Gapil secara tergesa-gesa dinamakan sebagai ketua jurulatih interim sambil pengurusan PDRM FC membiarkan untung nasib Azzmi sebagai misteri hingga ke hari ini.
Apa yang menghairankan ialah pemecatannya dibuat ketika pasukan sedangk meniti landasan kemenangan berturut-turut sedangkan rentetan lima kekalahan berturut-turut sebelum itu – kepada Sri Pahang FC, Penang FC, JDT, Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC – tidak mengundang sebarang petaka.
Apakah ia satu keputusan yang terlengah atau tertangguh, hanya pengurusan PDRM FC yang tahu jawapannya.
Namun, sudah untung nasib Eddy, The Cops masih berupaya meneruskan momentum selepas itu. Ini berkat persefahaman baiknya dengan pemain selama menjadi pembantu Azzmi di samping mengenali keupayaan setiap seorang pemainnya.
Seterusnya, Yunus diberi tanggungjawab mengambil alih pengendalian pasukan bermula pada 5 Ogos. Pengalaman luasnya tidak boleh dinafikan dalam memastikan pasukan dapat terus memuncakkan cabaran hingga ke akhir, dengan mereka tidak hanya berkesudahan di tangga kelapan liga, malah turut menjuarai Piala Cabaran.
Syabas kepada Azzmi, tahniah juga kepada Eddy dan sekalung penghargaan buat Yunus kerana gabungan bimbingan ketiga-tiga andalah, Sang Saka Biru mampu terbang tinggi pada penghujungnya.