Skip to main content

Bola Sepak

Januzaj pastikan Belgium juarai Kumpulan G

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

adnan-januzaj.jpg
BELGIUM 1 ENGLAND 0

Belgium akan berdepan Jepun dalam pusingan kalah mati Piala Dunia selepas jaringan pertama Adnan Januzaj di pentas antarabangsa memberikan kemenangan 1-0 ke atas England untuk mengungguli Kumpulan G, awal pagi tadi.


Dengan Brazil berpotensi menanti dalam aksi suku akhir buat pemenang kumpulan, terdapat spekulasi kedua-dua pasukan memilih untuk menghuni tangga kedua untuk berdepan Sweden atau Switzerland bagi perlawanan lapan pasukan terakhir.

Tetapi di sebalik Belgium yang melakukan sembilan pertukaran manakala England lapan, kedua-dua pasukan mempamerkan kesungguhan untuk berusaha dan meraih kemenangan.

Saat magis Januzaj sudah cukup untuk memberikan mata maksimum kepada Belgium dan kemenangan pertama mereka ke atas England sejak 1936, dengan pemain sayap itu melakukan larian daripada sayap kanan sebelum melepaskan rembatan menewaskan Jordan Pickford.

Marcus Rashford mendapat peluang terbaik England untuk menyamakan kedudukan tetapi penjaga gol, Thibaut Courtois, menafikan penyerang Manchester United itu, yang menggantikan pendahulu saingan Kasut Emas, Harry Kane.

John Stones merupakan salah seorang pemain yang dikekalkan dalam kesebelasan utama Gareth Southgate itu dan digantikan pada separuh masa -- pertahanan tengah itu mungkin terlepas aksi pusingan kedua berdepan Colombia.

Jamie Vardy turut diberikan peluang untuk mencetak jaringan pada awal permainan di atas barisan pertahanan yang lemah tetapi Courtois menyelamatkan gawang dengan menggunakan kaki kanannya.

Pickford menolak keluar rembatan jarak jauh Youri Tielemans sebelum Gary Cahill menolak keluar bola yang sedang bergolek memasuki gawang England.

Tielemans dilayangkan kad kuning pertama perlawanan disusuli Trent Alexander-Arnold kerana menghalang gerakan lawan, sebelum Pickford berjaya menafikan percubaan daripada Marouane Fellaini.

Kad kuning turut dilayangkan buat Leander Dendoncker kerana menjatuhkan Danny Rose ketika England dilihat bakal menjuarai kumpulan berdasarkan rekod fair play.

England bakal beraksi dalam perlawanan seterusnya tanpa Stones yang digantikan pada separuh masa, dengan pertahanan Manchester City itu dilihat mengalami kecederaan betis.

Dan Belgium mendahului perlawanan pada minit ke-51 hasil jaringan cantik daripada Januzaj buat Belgium -- jaringan pertamanya di pentas antarabangsa. Bekas pemain Manchester United itu bijak memintas Rose untuk menghasilkan peluang sebelum melepaskan rembatan yang di luar jangkauan Pickford. 

Permainan kemas daripada Vardy membuka ruang kepada Rashford untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-66 tetapi usaha penyerang itu dinafikan oleh ketangkasan Courtois.

Ketika England  bimbang memikirkan kecederaan Stones, pengendali Belgium, Roberto Martinez, membawa masuk Vincent Kompany daripada bangku simpanan untuk baki 16 minit perlawanan -- aksi pertamanya dalam Piala Dunia.

Skuad bintang Martinez akan berdepan Jepun, Isnin ini, dengan England bertemu Colombia pada hari berikutnya.

Advertisement

Must Watch Video