Kejuaraan Remaja B-16 ASEAN 2024 atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Kejohanan AFF B-16 akan membuka tirai secara rasmi pada Jumaat ini di Surakarta, Indonesia.

Menerusi temubual bersama wartawan Zulhelmi Zainal Azam dalam Nadi Arena 7.30 edisi Rabu lalu, persiapan skuad muda negara adalah baik dan sudahpun bermula sejak Februari lalu.

Apa yang lebih mencuri tumpuan adalah legasi bola sepak Malaysia yang ada dalam skuad bimbingan Javier Jorda Ribera ini.

Antara pemain yang meneruskan kecintaan ahli keluarga mereka dalam kancah bolasepak kompetitif adalah ketua pasukan skuad B-16 tahun kebangsaan, Amar Imran Uzaini Ashadi, yang merupakan anak saudara kepada duo bola sepak handalan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak dan Zaquan Adha Abd Radzak.

Amar Imran, yang bakatnya dikembangkan di Akademi Johor Darul Takzim (JDT), adalah anak bongsu kepada Sabarnur Abd Radzak, iaitu kakak kepada pasangan kembar sensasi itu, dan didedahkan dengan persekitaran bolasepak dan kisah-kisah kejayaan bapa saudara yang mesra disapa Acik dan Acu sejak kecil lagi.

Maka tidak hairanlah Zaquan Adha, yang kini bersama keluarga Astro Arena, berkongsi rasa bangga dan terujanya terhadap pencapaian Amar Imran dan sempat menitipkan beberapa pesanan menerusi posting di IG Story peribadinya, termasuk mengingatkan pemain berusia 16 tahun itu agar tidak sombong.



Senarai akhir 23 pemain turut dibarisi pemain pertahanan JDT, Rizzqin Uqail Mohd Sani, yang merupakan anak kepada bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Sany Fahmy. Peminat setia pasukan Johor khususnya, pasti mengingati individu yang menabur bakti bersama pasukan selatan tanah air itu sehingga 2003 sebelum menyarung jersi Selangor dan Kelantan.

Dalam era yang hampir sama, Norizam Ali Hassan antara bintang yang menggegar arena bola sepak negara sehingga pernah memenangi anugerah kasut emas Liga Malaysia ketika mewakili Perak pada 2001 dan kini, seperti pepatah melayu ‘bapa borek, anak rintik’, legasinya turun kepada anaknya, Arayyan Hakeem Norizam, yang merupakan penyerang berbisa JDT.

Seorang lagi pemain yang beraksi di posisi seperti ayahnya adalah Tengku Hasyri Shah Meerza Tengku Hazman dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD). Ayahnya, Tengku Hazman Raja Hassan, merupakan antara midfielder yang digeruni pada zamannya dan pernah menyarung jersi kebangsaan dari 1998 hingga 2005.



Skuad B-16 tahun kebangsaan dijadual terbang ke Surakarta pada Khamis bagi menghadapi saingan Kumpulan C yang akan bermula dengan menentang Timor Leste pada Ahad ini, sebelum bertemu Australia pada Rabu dan Thailand pada Sabtu depan.

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik ke peringkat separuh akhir, sambil satu daripada tiga pasukan kedua terbaik bakal melengkapkan slot 4 pasukan yang meneruskan perjuangan dalam kejohanan yang memberi petanda misi Malaysia ke Piala Dunia B-17 sudahpun bermula.