PIALA MALAYSIA

Jangan mudah angkat bendera putih -- Shaharuddin

Penulis Jemputan 10/09/2017 | 11:56 MYT
Penolong jurulatih Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi, mengingatkan anak buahnya agar tidak mudah berputus asa sewaktu berdepan tentangan sengit daripada T-Team sebelum melakar kemenangan 3-2 untuk memastikan slot ke suku akhir Piala Malaysia, malam tadi.
Pahang terlebih dahulu dihimpit tekanan apabila T-Team berjaya menyamakan kedudukan 2-2- dalam separuh masa kedua.
Bagaimanapun, Shaharuddin memuji sikap tidak cepat mengaku kalah anak buahnya untuk bertahan sebelum Yamil Romero berjaya meletakkan kembali pasukan di depan dengan gol kemenangan.
Mengakui moral pemain tidak menentu dalam babak kedua selepas terikat seri, Shaharuddin terus mengingatkan pemain agar berjuang sehabis baik sehingga wisel penamat dibunyikan.
"Tahniah kepada pemain kerana terus mencuba sehingga wisel penamat. Itulah yang kami cuba sampaikan dari tepi padang. Keputusan seri tidak akan membantu kami," kata Shaharuddin.
Teganya, kemenangan ini sebenarnya memberi pengajaran berguna kepada pasukannya apabila masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki.
Tidak konsisten selama 90 minit di samping kelemahan di pertahanan adalah punca skuad lawan berhasil menjaringkan dua gol dalam babak kedua
"Kami akan tengok semula tetapi jelas ada kekurangan apabila kami dibolosi, kami gagal memperbaiki kesilapan awal," tambah Shaharuddin.
;