Erik ten Hag menyenaraikan Jadon Sancho dalam skuad 29 yang akan mengikuti jelajah pramusim Manchester United di Amerika Syarikat (AS).

Sancho yang menghabiskan separuh musim 2023-24 dipinjamkan ke Borussia Dortmund telah diberikan kesempatan selama 45 minit ketika United menang 2-0 ke atas Rangers, Sabtu lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu sekadar membuat tiga penampilan untuk Ten Hag musim lalu dan pertengkaran mengenai kesungguhannya dalam sesi latihan menyaksikan dia dipinggirkan daripada skuad pasukan utama.

Sejak itu, Sancho kembali berlatih di Carrington dan kedua-dua pihak kemudian mengetepikan perselisihan mereka selepas mengadakan pertemuan positif awal bulan ini.

United berkunjung ke AS bagi meneruskan persiapan mereka menjelang musim baru ini membabitkan tiga perlawanan di venue berbeza.



Pasukan Ten Hag akan berdepan dengan seteru Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal, di Los Angeles hujung minggu ini diikuti menentang Real Betis dan Liverpool.

Andre Onana, Harry Maguire, Mason Mount, Marcus Rashford dan Rasmus Hojlund adalah antara pemain senior lain yang turut ikut serta.

Hojlund, yang menyumbangkan 10 gol EOK dalam kempen sulungnya di Old Trafford akan menggunakan nombor jersi 11 untuk musim 2024-25 berikutan pemergian Anthony Martial.

Pemain antarabangsa Denmark itu memakai nombor 11 musim lalu, tetapi akan menggantikan yang meninggalkan kelab itu selepas tamat kontraknya, sebagai pemain nombor sembilan baharu United.