Isu padang SNBJ: Ini bukan masanya -- bekas CEO PSM

Muzaffar Musa
Disember 13, 2023 21:26 MYT
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Azman Fahmi, menegaskan bahawa ini bukan masa yang sesuai untuk mendesak Datuk Hans Isaac meletakkan jawatan sebagai pengerusi badan itu.
Sebaliknya, ia adalah masa untuk PSM menumpukan dalam mencari cara terbaik penjagaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Azman percaya selepas kerosakan teruk yang dialami padang itu menjelang final Piala Malaysia pada Jumaat lalu, PSM sepatutnya sudah mempelajari sesuatu dan lebih mahir dalam mencari penyelesaian terbaik terhadap isu berkenaan.
SNBJ sekali lagi akan sekali lagi menjadi 'rumah' Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang Oman pada 26 Mac depan dan padang di venue itu perlu berada dalam keadaan bersedia selepas konsert Ed Sheeran yang dijadualkan berlangsung sebulan sebelum perlawanan berkenaan.
"Sewaktu saya bertindak sebagai CEO PSM, kami mengadakan MOU (memorandum persefahaman) dengan UPM (Universiti Putra Malaysia) untuk membantu pihak stadium dalam menguruskan rumput," katanya kepada wartawan Astro Arena, Syen Yeoh.
"Walaupun rumput itu hanya daripada jenis cowgrass, kami tetap melakukannya kerana kami mahu memastikan semua acara dapat dilangsungkan di SNBJ.
"Kerana itulah kami perlu mendapatkan bantuan pakar daripada UPM dan UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan saya percaya mereka memang bersedia untuk membantu.
"Kita faham pengerusi ketika ini tidak memiliki pengalaman dalam pengurusan stadium dan bukan semua orang memiliki pengalaman itu.
"Kita perlu belajar cara-cara menguruskan stadium kerana bukan semua yang kita pelajari di luar negara boleh digunakan di Malaysia.
"Memang tidak boleh kerana kita memerlukan cara berbeza," katanya.
#Perbadanan Stadium Malaysia #SNBJ
;