ACLE
Isu baling botol: Ini insiden pertama berlaku di SSI -- TMJ
Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menyatakan insiden botol yang dibaling ke arah padang itu merupakan kali pertama berlaku di Stadium Sultan Ibrahim.
Johor menamatkan cabaran saingan ACLE di pusingan 16 selepas tewas 0-1 di tangan Buriram, jaringan Suphanat Muenta menjadi pemisah sekaligus menutup perjalanan JDT.
Ketika perlawanan memasuki saat akhir, Jorge Obregon, berjaya mendapatkan gol penyamaan namun penjaga garisan mengangkat bendera ofsaid dan ia telah disahkan VAR.
Ia mencetuskan kemarahan segelintir pihak di SSI terhadap keputusan penjaga garisan itu sehingga membaling botol ke arah padang.
Menerusi sesi sola jawab TMJ bersama para penyokong, Tunku Ismail menjelaskan ia merupakan insiden pertama dan jangan terlalu mengikut emosi.
"Insiden baling botol itu adalah pertama kali berlaku di Stadium Sultan Ibrahim sejak dibuka, dan berharap tidak berlaku lagi
"Sentiasa jaga tingkahlaku kerana yang jadi mangsa adalah kelab. Jangan terlampau ikut emosi.
"Kalah tetap kalah, itu sukan. Saya terima kekalahan tersebut walau apa pun keputusan pengadil.
"Kita tidak boleh salahkan sesiapa kerana situasi tersebut tidak akan terjadi kalau kami mengambil peluang dan menjaringkan beberapa gol.
"Sekarang tanggungjawab saya adalah memperbaiki pasukan."