Jurulatih berpengalaman, Ismail Zakaria dilaporkan meninggal dunia pada usia 60 tahun dipercayai kerana sakit jantung, hari ini.

Perkembangan itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi media sosial.

"Bekas ketua jurulatih skuad bola sepak pantai kebangsaan, Ismail Zakaria telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 60 tahun di sebuah hospital swasta di Cheras Selatan, tengah hari tadi akibat serangan jantung," menurut kenyataan yang dikeluarkan FAM menerusi Facebook.

"Allahyarham merupakan seorang jurulatih bola sepak yang cukup berpengalaman dengan turut pernah membimbing beberapa pasukan tempatan antaranya Sime Darby FC, Kuala Lumpur, Kuantan FA dan UiTM FC.

"Selain itu, Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Pendidikan Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada tahun 2017 dan menjadi instruktur bagi kursus-kursus kejurulatihan.

"Antara kejayaan beliau sebagai jurulatih bola sepak ialah dengan membawa Sime Darby FC muncul juara Liga FAM 2010, naib juara Piala FA 2012 dan naib juara Liga Premier 2013.

"Semoga Allah SWT merahmati rohnya, mengampuni segala dosanya dan menempatkannya dalam kalangan para solehin."

Sebagai rekod, Ismail pernah mengendalikan beberapa pasukan dalam liga tempatan antaranya Sime Darby FC, Kuantan FA, UiTM FC dan juga Kuala Lumpur.

Selain itu, Ismail pernah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).